Sabtu, 20 Ogos 2016 | 2:25pm

Urus perbezaan pandangan secara bertamadun

TAN Sri Tunku Puteri Intan Safinaz ketika menyampaikan Titah Diraja pada Persidangan Pengajian Antarabangsa (ICIS) 2016, di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Nazran Jamel
TAN Sri Tunku Puteri Intan Safinaz ketika menyampaikan Titah Diraja pada Persidangan Pengajian Antarabangsa (ICIS) 2016, di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Nazran Jamel

KUALA LUMPUR: Pemimpin dan masyarakat dunia digesa menguruskan perbezaan pandangan secara bertamadun dengan menggalakkan pelbagai dialog dianjur bagi mencari titik persamaan.

Tunku Panglima Besar Kedah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, berkata gesaan itu adalah salah satu cadangannya bagi mengatasi lima cabaran utama dihadapi masyarakat dunia ketika ini.

Baginda yang juga Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata, cabaran itu adalah jurang kefahaman dalam agama, masalah tadbir urus dan pemimpin berintegriti, krisis pelarian, peningkatan jumlah migrasi terkawal dan tidak terkawal serta keyakinan terhadap komuniti dan identiti serantau.

"Dinamik permasalahan global pada ketika ini telah membawa kepada lebih banyak ketidaktentuan serta menyumbang kepada ketidakstabilan dunia.

"Struktur sistem global kontemporari menyebabkan satu-satu isu memberi kesan kepada setiap lapisan komuniti antarabangsa daripada peringkat negara sehingga individu.

"Ini memerlukan setiap individu mahupun negara, khususnya yang terkesan dengan susunan antarabangsa dan isu global ketika ini bertindak balas secara positif bagi memastikan kelangsungan negara dan komuniti," katanya ketika menyampaikan Titah Diraja pada Persidangan Pengajian Antarabangsa (ICIS) 2016, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pro Canselor UUM, Tun Dr Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim dan Naib Canselor UUM, Prof Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak.

ICIS adalah acara dwitahunan menghimpunkan seramai 150 peserta bagi membincangkan 70 kertas kerja daripada 138 sarjana dalam dan luar negara, antaranya dari Indonesia, Zimbabwe, India, Jepun, Australia, Iraq, Libya dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Berita Harian X