Jumaat, 19 Ogos 2016 | 3:45pm

183 titik panas dikesan di Kalimantan

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

KUCHING: Sebanyak 183 titik panas dikesan di Kalimantan dan tujuh lagi di Sumatera, Indonesia sejak semalam, yang mencetuskan kemungkinan berlakunya fenomena jerebu di sekitar Sarawak sekiranya haluan angin bertiup menghala ke arah negeri ini.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata bagaimanapun, keadaan jerebu dalam negara sehingga kini masih baik apabila tiada kawasan yang mencatatkan bacaaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat (IPU melebihi 100).

Beliau berkata sejak semalam, titik panas dalam negara hanya dikesan di empat kawasan di Sibu, empat lagi di Sri Aman, dua di Miri, dua di Kapit dan masing-masing satu di Limbang, Bintulu serta Sarikei.

"Keadaan jerebu di Lembah Klang dan beberapa kawasan sekitarnya dilaporkan semakin beransur pulih pagi ini," katanya pada sidang media selepas melawat Sekolah Kebangsaan Gersik di sini, hari ini.

Keadaan jerebu sederhana kembali melanda negara sejak beberapa hari lepas, dengan kawasan sekitar Manjung mencatatkan bacaan IPU paling serius yang menjangkau 97 semalam.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategori sebagai baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat dan 300 ke atas berbahaya.

Bagaimanapun sehingga 12 tengah hari ini, tiada kawasan dalam negara yang mencatatkan bacaan IPU lebih dari 70.

Wan Junaidi berkata sejumlah 183 titik panas, yang dikesan ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) berpusat di Singapura sejak semalam, merupakan peningkatan ketara berbanding 177 titik panas yang dilaporkan pada hari sebelumnya.

Namun, beliau tidak menjangka keadaan jerebu yang melanda negara kali ini akan menjadi terlalu serius seperti yang berlaku pada hujung tahun lepas.

"Ini berdasarkan kepada usaha gigih serta komitmen yang ditunjukkan oleh kerajaan Indonesia dan negara-negara ASEAN lain dalam menangani masalah itu supaya ia tidak berulang lagi," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X