X
Jumaat, 12 Ogos 2016 | 3:00pm

Perluas projek SuriaKu, pengurusan estet padi - PM

NAJIB menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian program NCIA di antara Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuala Muda Selatan, Muhamad Subuhi Saad (dua dari kiri) dengan Redza (dua dari kanan) di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, hari ini. Turut kelihatan Menteri Besar Kedah, Datuk Ahmad Bashah Mad Hanipah (tiga dari kanan). - Foto Fariz Iswadi Ismail
NAJIB menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian program NCIA di antara Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuala Muda Selatan, Muhamad Subuhi Saad (dua dari kiri) dengan Redza (dua dari kanan) di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, hari ini. Turut kelihatan Menteri Besar Kedah, Datuk Ahmad Bashah Mad Hanipah (tiga dari kanan). - Foto Fariz Iswadi Ismail

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mahu Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) memperhebatkan usaha pembangunan projek pemasangan panel solar, SuriaKu dan Program Pengurusan Estet Padi (EMM) di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).

Najib yang juga Menteri Kewangan turut mahu projek yang terbukti berjaya meningkatkan pendapatan dan taraf hidup rakyat melalui projek perintis di Pauh, Perlis dan Seberang Perai Utara, Pulau Pinang itu diperluaskan demi kebaikan penduduk di negeri lain dalam koridor itu.

Bercakap kepada pemberita, Ketua Eksekutif NCIA, Datuk Redza Rafiq, berkata perkara itu dibangkitkan Perdana Menteri semasa mempengerusikan mesyuarat ke-16 NCIA yang berlangsung selama lebih satu jam di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Dalam taklimat media mengenai prestasi enam bulan pertama NCER, Redza berkata Najib teruja dengan kejayaan dua inisiatif yang dilaksanakan kerajaan itu, khususnya SuriaKu yang berjaya menambah pendapatan peserta antara RM400 hingga RM700 sebulan, bergantung kepada keadaan cuaca.

"Perdana Menteri juga mahu Program Pengurusan Estet Padi yang dijalankan di luar Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dikembangkan segera ke negeri lain berdasarkan keupayaan projek itu meningkatkan penghasilan padi sehingga enam tan sehektar dengan anggaran pendapatan sebanyak RM1,400 per tan," katanya.

Redza berkata NCIA menyasarkan untuk menarik 300 lagi peserta dari kalangan B40 untuk terlibat dalam projek SuriaKu daripada 21 buah rumah yang terlibat pada masa ini dan bilangan penglibatan petani juga akan terus dipertingkatkan daripada 1,067 orang yang menyertai EMM ketika ini.

Program SuriaKU adalah inisiatif yang diperkenalkan NCIA untuk membantu masyarakat luar bandar menjana elektrik yang kemudiannya dijual kepada syarikat yang berminat, sekali gus membantu menjana pendapatan tambahan dalam kalangan peserta dengan sasaran mengeluarkan mereka daripada garis kemiskinan.

Terdahulu, Perdana Menteri turut menyaksikan pertukaran empat dokumen perjanjian program pembangunan di koridor utara bernilai RM960 juta.

Pertukaran dokumen yang bertemakan "Pembangunan Wilayah Merentasi Sempadan Negeri" itu melibatkan Pertubuhan Peladang Kawasan Kuala Muda Selatan, Kedah; Temasek Growth Sdn Bhd, Perak; FigDirect Sdn Bhd, Perlis dan Attest Research Sdn Bhd di Pulau Pinang.

Melalui perjanjian itu, syarikat terbabit akan mewujudkan inisiatif dan kemudahan inovasi dalam wilayah koridor utara sekaligus mewujudkan peluang perniagaan dalam kalangan penduduk, memantapkan sistem logistik dan meningkatkan taraf hidup rakyat.

Redza berkata bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini, NCIA berjaya menarik pelaburan sebanyak RM4.47 bilion ke wilayah koridor utara, dengan majoriti pelaburan daripada sektor pembuatan.

"Jumlah ini melepasi 50 peratus daripada RM6.5 bilion pelaburan yang disasarkan di Koridor Utara pada tahun ini dan kami yakin sasaran itu mampu dicapai menjelang akhir tahun," katanya.

Dalam tempoh sama, katanya, NCIA turut berjaya mewujudkan 7,477 peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat terutamanya pekerja mahir dalam sektor pembuatan dan pertanian. - BERNAMA

Berita Harian X