Rabu, 10 Ogos 2016 | 9:51pm

Musa Hitam produk impian Malaysia - Sultan Perak

TUN Musa Hitam berucap pada majlis pelancaran buku tulisan Musa berjudul 'Frankly Speaking', di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Sairien Nafis
TUN Musa Hitam berucap pada majlis pelancaran buku tulisan Musa berjudul 'Frankly Speaking', di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Sairien Nafis

KUALA LUMPUR: Tun Musa Hitam yang juga produk 'impian Malaysia', berdiri teguh laksana gunung dan membayar harga yang tinggi kerana mempertahankan pendiriannya apabila terpaksa melepaskan jawatan sebagai timbalan perdana menteri.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, bertitah, Musa, 82, yang berada "hanya selangkah sahaja lagi untuk menjadi perdana menteri Malaysia kelima", berlalu meninggalkan peluang itu.

"Tun Musa berpegang teguh dengan prinsipnya dan beliau berbuat demikian dengan penuh berhemah. Beliau melepaskan jawatan timbalan perdana menteri kerana tidak bersetuju dengan arah tuju dasar yang bercanggah dengan prinsip yang menjadi pegangannya," titah baginda ketika melancarkan buku tulisan Musa berjudul 'Frankly Speaking', di sini hari ini.

Sultan Nazrin Shah bertitah, sebagai anak kepada seorang pembaca meter dan satu-satunya dalam kalangan 10 adik-beradik yang berjaya menjejakkan kaki ke menara gading, Musa adalah tokoh yang dinanti-nanti, dan beliau sendiri telah menunggu sejak sekian lama, dan kalaulah beliau tidak mengetepikan prinsip yang tunjang perjuangannya, Musa sudah tentu akan dapat menyandang jawatan politik tertinggi di negara ini.

"Sebaliknya, beliau berpegang teguh dengan apa yang diyakininya dan berundur," titah baginda mengenai tindakan Musa melepaskan jawatan timbalan perdana menteri pada 16 Mac 1986 setelah menyandangnya sejak 18 Julai 1981. Musa baru berusia 52 tahun ketika itu.

Sultan Nazrin bertitah: "Ujian sebenar bagi seseorang ialah apabila dia perlu membuat pendirian dan menyuarakan prinsipnya."

Titah baginda, Musa begitu menonjol daripada segelintir anak watan yang meninggalkan jejak yang sukar untuk dipadam di tanah air yang amat dicintainya.

"Dengan mengabadikan pengalaman beliau dalam bentuk tulisan, Tun Musa membawa kita menyusuri suatu sejarah yang kebanyakan daripada kita telah melupainya dan barangkali juga tidak menyedarinya. Beliau berpendapat bahawa di samping kejayaan fizikal yang kita capai sebagai sebuah negara, cabaran - daripada tempoh sebelum merdeka - tetap kekal sama, walaupun mungkin tidak lebih hebatnya," titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah, Musa menjadi pemimpin pelajar pada lewat 1940-an dan 1950-an ketika Tanah Melayu memperjuangkan kemerdekaannya dan berdepan dengan ancaman menggerunkan akibat pemberontakan komunis.

Beliau dilantik sebagai penolong pegawai daerah di Kluang, Johor selepas menamatkan pengajian di Universiti Malaya pada 1959, dan pada 1970-an, beliau menyertai Kabinet Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein.

"Pengalaman awal ini amat berguna bagi beliau...beliau perlu menangani dan menghapuskan perasaan tidak puas hati yang begitu meluas serta bantahan daripada pekebun kecil dan pekerja dalam industri getah yang terbelenggu oleh kejatuhan harga, di samping memadam api kemarahan pelajar yang begitu bersemarak di Universiti Sains Malaysia, tempat mereka mengadakan tunjuk perasaan mengenai keadaan yang mengancam periuk nasi penduduk Baling," titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah, pendekatan yang digunakan Musa untuk menyelesaikan masalah, meletakkan beliau dalam keadaan yang cukup yakin apabila beliau berucap kepada hadirin yang dibakar api kemarahan kerana beliau memahami masalah mereka.

"Kejujuran beliau berjaya menenangkan para penunjuk perasaan dan tindakan beliau mengotakan janjinya selepas itu menjadikan Musa terkenal sebagai manusia yang berpegang pada kata-katanya.

"Mungkin, kejayaan beliau dalam menangani bantahan itu - lebih dikenali sebagai Demonstrasi Baling - menonjolkan kewibawaan beliau di mata para pemimpin negara ini dan merintis jalan baginya untuk menyandang jawatan lebih tinggi," titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah, pengalaman Musa dalam menangani puak pelampau dan cauvanis daripada segenap spektrum politik, jiwanya yang terseksa kerana rusuhan 13 Mei serta pemerhatian beliau bahawa "bahaya terus melingkari Malaysia" adalah pandangan yang semua pemimpin dan mereka yang bercita-cita untuk menjadi ahli politik, perlu hayati secara serius.

"Sesungguhnya, 'Frankly Speaking' adalah sebuah buku yang begitu mengagumkan dan mengandungi begitu banyak mutiara berhikmah daripada pengalaman Tun Musa, untuk dimanfaatkan," titah baginda. - BERNAMA

Berita Harian X