Jumaat, 5 Ogos 2016 | 10:01pm

Remaja hilang mandi di Pantai Tanjung Rhu

MANGSA, Mohammad Asyraaf Che Amat.
MANGSA, Mohammad Asyraaf Che Amat.

LANGKAWI: Seorang remaja lelaki dikhuatiri lemas selepas hilang ketika mandi bersama empat rakan lain di Pantai Tanjung Rhu, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, mangsa, Mohammad Asyraaf Che Amat, 18, dari Kangar, Perlis dilapor hilang selepas dikatakan ditarik arus ketika bermain di beting pasir di pantai berkenaan.

Bagaimanapun empat rakannya yang turut ditarik arus dan dihanyutkan ombak, berjaya diselamatkan bot pelancong.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Langkawi, Pegawai Bomba Kanan II, Bahadun Ibrahim, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 6.13 petang sebelum 25 anggota bergegas ke lokasi untuk tugas operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Operasi itu dibantu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan polis.

Sehingga operasi SAR dihentikan jam 7.45 malam tadi, mangsa masih belum ditemui dan pasukan penyelamat dijangka menyambung semula operasi terbabit jam 7.30 pagi esok.

Berita Harian X