Selasa, 2 Ogos 2016 | 11:55am
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersalaman dengan Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) ketika tiba Forum Ekonomi Islam Sedunia ke-12 (WIEF Ke-12) di Pusat Konvensyen Jakarta (JCC), Jakarta. - Foto Aizuddin Saad
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersalaman dengan Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) ketika tiba Forum Ekonomi Islam Sedunia ke-12 (WIEF Ke-12) di Pusat Konvensyen Jakarta (JCC), Jakarta. - Foto Aizuddin Saad

Dunia Islam mesti tolak campur tangan asing - PM

JAKARTA: Datuk Seri Najib Razak berkata Dunia Islam mesti menolak campur tangan asing kerana sudah jelas terlihat kemudaratan besar yang terjadi di pelbagai negara disebabkan tindakan mereka.

Perdana Menteri berkata, Dunia Islam perlu menyatakan dengan jelas mereka menolak campur tangan asing yang biasanya bersandarkan maklumat tidak lengkap, salah atau bersifat partisan.

"Kita juga mesti tolak mereka yang bermotif politik menggesa campur tangan kuasa-kuasa asing di negara mereka sendiri. Kita sebagai ummah perlu bertanggungjawab kepada diri sendiri dan kita berdoa supaya usaha kita mendapat petunjuk untuk melakukannya," katanya dalam Ucapan Khas pada perasmian Forum Ekonomi Islam Sedunia ke-12 (WIEF Ke-12) di sini, hari ini.

Terdahulu, Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) memberikan ucap tama dan merasmikan persidangan itu yang bermula hari ini hingga Khamis.

Yang turut hadir Pengerusi Yayasan Forum Ekonomi Islam, Tun Musa Hitam.

Mengulas lanjut, Najib berkata, campur tangan asing di negara-negara Islam menyebabkan kesan yang dijangka dan tidak dijangka sehingga masih dirasakan hingga kini.

"Itulah sebabnya, para pemimpin Dunia Islam yang berada di sini hari ini mesti berusaha menyelesaikan isu dan masalah kita secara bersama.

"Saya sentiasa menyokong dasar keterbukaan kepada dunia dan kerjasama. Tetapi kita mesti tekankan supaya kedaulatan, undang-undang dan kerajaan kita yang dipilih secara demokrasi sentiasa dihormati," katanya.

Najib berkata, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, banyak kemelut berlaku di negara Islam dan tanpa kestabilan politik, kemajuan ekonomi tidak boleh dicapai.

Berita Harian X