Sabtu, 30 Julai 2016 | 12:03pm

Mahasiswa perlu kekang ancaman militan IS

MENTERI Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh. - Foto Rosela Ismail
MENTERI Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh. - Foto Rosela Ismail

KUALA NERUS: Mahasiswa perlu memainkan peranan penting bagi mengekang penularan ancaman militan IS daripada tersebar di universiti, kata Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh.

Beliau berkata, selain di kampus, mahasiswa juga harus mengambil pendekatan dan inisiatif tersendiri dengan menyebarkan kepada masyarakat termasuk golongan bukan Islam mengenai ajaran Islam sebenar.

"Ancaman Daesh (IS) ini adalah benar dan ianya baru bermula...jangan anggap ia perkara yang kecil. Mahasiswa harus membetulkan persepsi orang ramai mengenai Islam sebenar yang cintakan keamanan, kebenaran, kedamaian dan Islam bencikan keganasan.

"Kita tak mahu ada mahasiswa terlibat dalam Daesh...mahasiswa perlu ambil tanggungjawab untuk menyampaikan dan menyebarkan kepada orang ramai termasuk menggunakan media sosial, mengenai Islam sebenar dan ancaman Daesh," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Konvensyen Kepimpinan Mahasiswa Islam Institusi Pengajian Tinggi (IPT) 2016 peringkat kebangsaan di sini malam tadi.

Turut hadir Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof Datuk Dr Ahmad Zubaidi Abdul Latif.

Beliau turut berharap konvensyen yang bertemakan Penyatuan Mahasiswa Pemangkin Kelestarian Negara tersebut akan dapat menghasilkan satu resolusi yang dapat menyampaikan mesej kepada masyarakat mengenai perjuangan Islam yang sebenar.

Konvensyen anjuran UniSZA dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi yang menghimpunkan 300 pemimpin pelajar daripada universiti awam dan IPT seluruh negara itu, berlangsung empat hari bermula semalam. - BERNAMA

Berita Harian X