Selasa, 26 Julai 2016 | 4:46pm

Kamalanathan lawat sekolah Tamil `tunggal' Kelantan

 TIMBALAN Menteri Pendidikan 1, Datuk P. Kamalanathan di sidang media selepas melakukan lawatan rasmi ke Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Tamil Pasir Gajah, Kuala Krai. - Foto Syamsi Suhaimi
TIMBALAN Menteri Pendidikan 1, Datuk P. Kamalanathan di sidang media selepas melakukan lawatan rasmi ke Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Tamil Pasir Gajah, Kuala Krai. - Foto Syamsi Suhaimi

KUALA KRAI: Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P Kamalanathan, melawat Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Pasir Gajah, di sini, yang juga satu-satunya sekolah Tamil di negeri ini, hari ini.

Dalam lawatan kerja seharinya itu, beliau memuji pengurusan sekolah terbabit yang mampu menyediakan infrastruktur lengkap dalam mewujudkan sesi pembelajaran kondusif untuk murid.

Kehadiran beliau yang diiringi Timbalan Pengarah Pendidikan negeri, Jaafar Ismail dan wakil Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Krai, bertujuan meninjau sesi pembelajaran diadakan di sekolah itu yang hanya mempunyai 25 murid dan 12 guru.

Beliau yang mengadakan pertemuan dengan guru serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah turut memberi maklum balas positif terhadap beberapa permintaan untuk meningkatkan taraf sekolah terbabit.

"Saya menerima dua permohonan iaitu cadangan supaya tadika yang terdapat di sekolah ini dijadikan sebagai prasekolah dan diuruskan Kementerian Pendidikan kerana bilangannya hampir mencecah kuota iaitu 15 orang.

"Permintaan kedua adalah menyediakan sebuah bas bagi kegunaan mengambil dan menghantar murid kerana bas asal sudah agak uzur," katanya kepada pemberita, di sini, sebentar tadi.

Kamalanathan berkata, pihaknya akan mempertimbangkan kedua-dua permohonan itu kerana ia dapat menaik taraf sekolah terbabit.

Katanya, beliau berpuas hati dengan penggunaan aplikasi penggunaan Persekitaran Pembelajaran Maya (VLE) sekolah itu membabitkan murid dan guru, namun ia perlu dipertingkatkan dalam kalangan ibu bapa.

Berita Harian X