Selasa, 26 Julai 2016 | 3:27pm

Malaysia-Thailand perinci lokasi bina tembok sempadan

TAN Sri Zulkifeli Mohd Zin.
TAN Sri Zulkifeli Mohd Zin.

KUALA LUMPUR: Malaysia-Thailand masih di peringkat untuk memperincikan cadangan membina tembok sempadan baharu Malaysia-Thailand bagi tujuan koordinasi aktiviti rondaan keselamatan kedua-dua negara.

Panglima Angkatan Tentera (PAT), Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin, berkata beliau akan ke Thailand, Khamis ini untuk menghadiri Majlis Mesyuarat Peringkat Tinggi (HLC) bersama rakan sejawatnya, Jeneral Woraping Sanganeta, bagi membincangkan perkara itu, termasuk mengenal pasti lokasi pembinaan tembok terbabit.

"Cadangan membina tembok ini masih di peringkat perbincangan bagi mengenal pasti lokasi sesuai. Ada kawasan sudah ada tembok, tetapi dibina berasingan di antara kedua-dua negara.

"Nanti, hanya akan ada satu tembok pemisah dibina di atas garis sempadan Malaysia-Thailand dengan pengurusan dan kosnya ditanggung bersama," katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Aidilfitri Angkatan Tentera Malaysia (ATM), di Wisma Perwira, di sini, hari ini.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah, berkenan berangkat ke majlis berkenaan.

Yang turut hadir, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Majlis yang dihadiri kira-kira 3,000 tetamu itu turut dimeriahkan dengan persembahan daripada Badan Kesenian Tentera Darat (BKTD).

Turut diadakan pada majlis itu adalah penyampaian sumbangan kepada 46 anggota yang cedera ketika bertugas dan terbabit kemalangan.

Berita Harian X