X
Sabtu, 23 Julai 2016 | 7:31pm

Sultan Nazrin berkongsi pengalaman tunai haji

SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan bersalaman bersama bakal jemaah haji ketika hadir merasmikan Kursus Perdana Haji Peringkat Negeri Perak di Dewan Jubli Perak di Kuala Kangsar. - Foto Supian Ahmad
SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan bersalaman bersama bakal jemaah haji ketika hadir merasmikan Kursus Perdana Haji Peringkat Negeri Perak di Dewan Jubli Perak di Kuala Kangsar. - Foto Supian Ahmad

KUALA KANGSAR: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, berkongsi pengalamannya ketika menunaikan haji pada tahun 2003 bersama hampir 2,000 bakal jemaah yang mengikuti kursus perdana haji di sini.

Baginda bertitah, antara pengalaman itu ialah dapat mengamalkan sifat toleransi, sabar dan beralah, tidak bersifat terburu-buru untuk mahu segera menyelesaikan sesuatu rukun sehingga membahayakan diri. 

"Kedua, bersifat pemurah dengan bersedia berkongsi barangan dan kemudahan, tidak terbatas kepada wang ringgit, makanan dan minuman, malah kesediaan memberi ruang kepada jemaah lain tempat untuk bersolat, memberi laluan kepada warga tua dan jemaah yang berada dalam keuzuran serta membantu memandu jemaah yang menghadapi kebuntuan," titahnya.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Kursus Perdana Haji Peringkat Negeri Perak Musim 1437H/2016 di Dewan Jubli Perak di sini petang tadi. Turut berkenan berangkat pada majlis itu ialah Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir serta Ketua Pegawai Pelaburan Lembaga Tabung Haji, Abd Kadir Sahlan.

Sultan Nazrin bertitah, pengalaman menunaikan haji juga mendidik jiwa untuk bersifat reda kepada kesusahan serta kesenangan yang ditempuhi serta menerima segala yang berlaku adalah ujian daripada Allah terhadap hambanya.

Baginda bertitah, pengalaman menunaikan haji membolehkan setiap umat Islam mengamalkan sifat merendah diri dengan melupakan status, pangkat, jawatan, istana, gedung perniagaan atau banglo besar yang ditinggalkan selain menginsafi bahawa manusia adalah sama di sisi Allah, serta dilahirkan ke dunia tanpa seurat benang dan disemadikan di alam kubur berpakaian kain kafan putih.

Titahnya, ia juga memberi keinsafan bahawa kesesakan dan ujian yang dialami di Padang Arafah adalah satu imbasan kecil daripada suasana sebenar yang bakal ditempuhi oleh setiap manusia pada hari kebangkitan di Padang Mahsyar nanti.

Sultan Nazrin bertitah, pengalaman dialami ketika berkursus adalah satu pendedahan untuk menyediakan kekuatan minda dan emosi serta persiapan membina daya tahan jemaah menghadapi cabaran sebenar ketika mengerjakan ibadah haji nanti.

"Semoga Allah melimpahkan jemaah dengan segala kelapangan dan kemudahan, dianugerahkan kesihatan dan kekuatan, diperkukuhkan iman diperteguhkan pegangan, dapat melakukan ibadah haji sesempurna mungkin," titahnya.

Berita Harian X