Jumaat, 22 Julai 2016 | 3:36pm

Lebih banyak produk francais tempatan di luar negara

MENTERI Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin. - Foto Hafiz Sohaimi
MENTERI Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin. - Foto Hafiz Sohaimi

MANILA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNK)K akan memilih lebih banyak produk francais tempatan yang mempunyai kelainan tersendiri untuk dipasarkan ke peringkat antarabangsa.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata hingga kini 63 jenama francais tempatan sudah berada di 65 negara dengan 3,735 premis secara keseluruhan.

Beliau berkata, jumlah itu akan ditingkatkan berikutan Malaysia mempunyai kelebihan daripada aspek infrastruktur dan program pembangunan yang strategik.

"Sebagai contoh, di Filipina ini kita lihat ada potensi pasaran yang besar dan kelebihan yang kita ada ialah citarasa rakyatnya seperti makanan serta budaya hampir sama dengan rakyat kita.

"Jadi, ini memudahkan kita bekerjasama dan memperluaskan lagi produk francais tempatan," katanya selepas merasmikan pavilion francais Malaysia sempena Pameran Francais Asia Filipina (PAPH) 2016, di sini, hari ini.

PAPH2016 dirasmikan Naib Presiden Filipina, Leni Robredo.

Delegasi francais Malaysia menjadi kumpulan terbesar menyertai PAPH kali ini dengan penyertaan 10 jenama iaitu Marrybrown, Dapur Penyet, Focus Point, Teh Tarik Place, Smart Reader, Cosry, Cambridge English For Life, Balloon Buzz, GlobalArt dan Manhattan Fish Market.

Hamzah berkata, selain produk francais Malaysia yang mempunyai kelainan dan kualiti yang baik, program francais dari Malaysia juga mempunyai kawalan harta intelek yang boleh melindungi perniagaan mereka.

Berita Harian X