Isnin, 18 Julai 2016 | 8:54pm

Khidmat feri Kuala Kedah-Langkawi dibatalkan akibat cuaca buruk

SEBAHAGIAN 100 penumpang yang telah membeli tiket feri jam 4.30 petang bagi perjalanan dari Kuala Kedah ke Langkawi mendapatkan semula wang di kaunter Langkawi Ferry Line Ventures Sdn Bhd di Kuala Kedah. - Foto Hamzah Osman
SEBAHAGIAN 100 penumpang yang telah membeli tiket feri jam 4.30 petang bagi perjalanan dari Kuala Kedah ke Langkawi mendapatkan semula wang di kaunter Langkawi Ferry Line Ventures Sdn Bhd di Kuala Kedah. - Foto Hamzah Osman

KUALA KEDAH: Lebih 100 penumpang yang ingin ke Langkawi terkandas selepas perkhidmatan feri ke pulau pelancongan itu dibatalkan akibat cuaca buruk.

Pembatalan itu dimaklumkan kakitangan Langkawi Ferry Line Venture Sdn Bhd (LFLVSB) kepada penumpang yang sudah bersedia untuk berlepas selepas membeli tiket untuk perjalanan jam 4.30 petang.

Pembatalan berikutan keadaan ombak besar dan tiupan angin kencang itu membabitkan laluan Kuala Kedah-Langkawi, namun perkhidmatan feri untuk laluan Kuala Perlis-Langkawi tidak terjejas.

Susulan pembatalan itu, syarikat feri terbabit mengembalikan wang kepada penumpang dan menasihatkan mereka menggunakan terminal feri Kuala Perlis untuk ke Langkawi sebagai alternatif.

Seorang kakitangan LFLVSB yang hanya mahu dikenali sebagai Ramli, berkata operasi feri dari Kuala Kedah ke Langkawi terpaksa dibatalkan atas faktor cuaca.

"Syarikat membatalkan perjalanan feri yang dijadual pada jam 4.30 petang dari Kuala Kedah ke Langkawi kerana ketinggian ombak dilaporkan mencecah kira-kira dua meter dan berbahaya.

"Penumpang yang membeli tiket boleh mengambil semula wang masing-masing di kaunter," katanya.

Beliau berkata, tiga perjalanan feri dijadualkan terbabit dengan pembatalan itu iaitu 4.30 petang, 6 petang serta 7 malam.

Berita Harian X