Jumaat, 15 Julai 2016 | 10:34am

Sidang Kemuncak ASEM Ke-11 bermula pagi ini

AHMAD Zahid (kiri) pada sesi pleno pertama 'Two Decades of Partnership: Taking Stock and Looking Ahead' sempena Sidang Kemuncak ASEM Ke-11 di Ulaanbaatar, hari ini. - Foto BERNAMA
AHMAD Zahid (kiri) pada sesi pleno pertama 'Two Decades of Partnership: Taking Stock and Looking Ahead' sempena Sidang Kemuncak ASEM Ke-11 di Ulaanbaatar, hari ini. - Foto BERNAMA

ULAANBAATAR, Mongolia: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menghadiri majlis perasmian Sidang Kemuncak Mesyuarat Asia-Eropah (ASEM) Ke-11 yang bermula di sini, pagi tadi.

Sebaik tiba sebelum majlis perasmian, Timbalan Perdana Menteri menandatangani buku tetamu di ruang legar Hotel Shangri-La sebelum bersalaman dengan Presiden Mongolia, Tsakhiagiin Elbegdorj.

Antara yang hadir pada sidang kemuncak dua tahun sekali itu ialah Perdana Menteri China, Li Keqiang; Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe dan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong.

Ahmad Zahid kemudian menyertai sesi pleno di hotel sama.

Pada sesi berkenaan, Ahmad Zahid akan menekankan keperluan untuk mengaktifkan semula tonggak ekonomi di bawah kerangka kerjasama ekonomi menerusi ASEM.

Timbalan Perdana Menteri akan turut mengutarakan dan berkongsi pengalaman dalam tiga isu utama tonggak politik di bawah kerangka kerjasama politik iaitu membanteras keganasan, migrasi dan pemerdagangan orang.

Beliau juga dijadual mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Slovenia dan Belanda dengan tumpuan dalam isu dua hala, serantau serta antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama, hari ini.

Sidang kemuncak itu yang disertai 53 rakan kongsi iaitu 21 negara Asia, 30 dari Eropah dan dua pertubuhan serantau iaitu Suruhanjaya Eropah dan Sekretariat ASEAN.

Penganjuran Sidang Kemuncak ASEM Ke-11, bertemakan 20 Tahun ASEM: 'Kerjasama Untuk Masa Depan Melalui Kesalinghubungan', menandakan sambutan ulang tahun ke-20 Mesyuarat Asia-Eropah yang bermula pada tahun 1996.

Berita Harian X