Ahad, 3 Julai 2016 | 9:32am

Imunisasi: KKM, KPWKM jalin kerjasama

Timbalan Menteri Kesihatan merangkap Ahli Parlimen Balik Pulau, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya (empat dari kanan) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Muhamad Farid Saad (lima dari kanan) bergambar bersama mahasiswa yang menerima sumbangan penghargaan ketika majlis berbuka puasa bersama sekretariat mahasiswa pertubuhan aspirasi Balik Pulau di Restoran Pen Mutiara, Batu Maung. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal

BALIK PULAU: Kementerian Kesihatan (KKM) bersedia bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bagi mengatasi masalah keengganan ibu bapa memberi anak mereka suntikan vaksin dan imunisasi.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya, berkata ia susulan kesediaan KPWKM menguatkuasakan Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) bagi menyelesaikan masalah itu.

"Kementerian bersedia untuk beri pandangan kepada ibu bapa mengenai keburukan tidak mengambil suntikan vaksin imunisasi bagi anak mereka yang boleh dikategorikan sebagai penganiayaan terhadap kanak-kanak.

"Kementerian bukan sahaja akan bekerjasama dengan KPWKM, malah turut menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berhubung perkara ini," katanya ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa bersama Mahasiswa Parlimen Balik Pulau di sini, malam tadi.

Khamis lalu, KPWKM memaklumkan ibu bapa yang enggan memberi suntikan vaksin dan imunisasi kepada anak mereka hingga boleh membahayakan kesihatan kanak-kanak lain boleh dihukum mengikut Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) kerana menganiaya kanak-kanak.

Ia susulan keengganan ibu bapa memberi suntikan itu menjadi punca merebaknya jangkitan penyakit yang mengancam nyawa kanak-kanak dan ia boleh disifatkan sebagai satu penganiayaan kepada kanak-kanak.

Mengulas mengenai kerjasama dengan JAKIM, Dr Hilmi berkata, pihaknya sudah mengadakan perbincangan bersama Pegawai Jabatan Kesihatan berhubung perkara itu.

"Bagaimanapun, perkara ini perlu dibincangkan dengan lebih lanjut, sebelum mengemukakan sebarang syor kepada JAKIM," katanya.

Berita Harian X