Sabtu, 2 Julai 2016 | 12:18pm

Industri hospitaliti perlu ubah amalan keselamatan

Pengerusi NIOSH, Tan Sri Lee Lam Thye. - Foto Asyraf Hamzah
Pengerusi NIOSH, Tan Sri Lee Lam Thye. - Foto Asyraf Hamzah

KUALA LUMPUR: Penggiat industri hospitaliti dan pihak berkuasa perlu mengubah amalan keselamatan sedia ada dengan membudayakan cara kerja berhemah dan berhati-hati bagi mengelak kemalangan maut membabitkan orang ramai termasuk pelancong.

Pendekatan itu sejajar dengan konsep Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH) bagi industri pelancongan dan hospitaliti.

Pengerusi NIOSH, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata komitmen terhadap OSH perlu diberi perhatian dan dibudayakan.

"Kebanyakan pengusaha pelancongan menyediakan aktiviti yang terdedah kepada risiko tinggi kemalangan seperti selaman skuba, flying fox, memanjat dinding batu dan terjunan bungee.

"Aktiviti kemahiran teknikal dan berisiko tinggi ini perlu diambil perhatian dari segi penyediaan prosedur pertolongan cemas dan pasukan tindak balas kecemasan segera," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas insiden bot karam di perairan Sabah baru baru ini, membabitkan 22 mangsa dengan kebanyakannya pelancong China yang diselamatkan selepas terapung selama 16 jam di laut.

Lam Thye berkata, industri pelancongan membabitkan kumpulan besar pekerja termasuk pembekal, vendor, kontraktor yang terdedah kepada bahaya pekerjaan seperti tergelincir, jatuh, pengendalian jentera, peralatan tidak betul, terbakar dan luka.

Katanya, pengendalian manual seperti mengemas katil, membersihkan lantai dan permaidani, membawa dulang makanan, meletak barang-barang di rak, mengendalikan troli dobi serta memuat atau memunggah mesin basuh adalah antara tugasan yang mempunyai risiko keselamatan pekerja.

"Pemandu pelancong yang bekerja lebih masa turut terdedah risiko keselamatan berbentuk fizikal, biologi atau psikososial yang membawa kesan serius kepada kesihatan mereka.

"Waktu kerja panjang, beban kerja fizikal berat atau keadaan kerja tidak ergonomik seperti duduk di kenderaan selama berjam-jam boleh membawa kepada kecederaan dan gangguan penyakit sendi," katanya.

Berita Harian X