Khamis, 30 Jun 2016 | 4:51pm

Pukul suami kerana cukai jalan tamat tempoh

MELAKA: Seorang isteri memukul suaminya dalam pertengkaran selepas mendapati cukai jalan motosikal dinaiki tamat tempoh dalam sekatan jalan raya di Jalan Syed Abdul Aziz di sini, malam tadi.

Pasangan berusia 30-an berkenaan dalam perjalanan ke pusat bandar raya dan dipercayai cuba mengelak sekatan jalan raya sebelum ditahan kira-kira jam 11.30 malam.

Lelaki itu dikatakan cuba menghubungi bapanya untuk bertanya mengenai cukai jalan tetapi tindakan itu mengundang kemarahan isterinya.

Pertengkaran pasangan itu berlanjutan kira-kira 30 minit sebelum polis menahan lelaki terbabit dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah untuk menjalani ujian air kencing.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah, berkata saringan air kencing mendapati lelaki berasal dari Juasseh, Negeri Sembilan itu positif dadah jenis methamphetamine.

"Dia ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Motosikal jenis Modenas Kriss ditunggangnya turut dibawa ke IPD untuk pemeriksaan," katanya ketika dihubungi di sini, sebentar tadi.

Shaikh Abdul Adzis berkata, dalam operasi lalu lintas dan pencegahan jenayah bermula jam 10 malam hingga 4 pagi itu, sebanyak 112 kenderaan diperiksa dengan 88 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

"Antara kesalahan dilakukan termasuk mengubah suai kenderaan, tiada lampu brek, menggunakan telefon bimbit ketika memandu, tiada lesen memandu, tidak mempamerkan cukai jalan dan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi.

"Turut ditahan, dua lelaki berusia 24 dan 25 tahun selepas didapati memiliki dadah jenis syabu dan Eramin 5. Mereka ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Berita Harian X