Sabtu, 25 Jun 2016 | 8:54pm

Kerja prasarana Bandaraya Getah, KSTP mula tahun depan

KETUA Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Datuk Redza Rafiq. - Foto Eizairi Shamsudin
KETUA Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Datuk Redza Rafiq. - Foto Eizairi Shamsudin

JITRA: Dua projek mega di Kedah membabitkan Bandaraya Getah di Padang Terap dan Taman Teknologi Sains Kedah (KSTP) di Bukit Kayu Hitam dijangka boleh memulakan proses pembangunan infrastrukturnya, tahun depan.

Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Datuk Redza Rafiq, berkata hingga kini dua projek terbabit masih melalui proses perancangan iaitu pelantikan perunding selepas kerja pemilikan tanah selesai.

"Kita masih dalam peringkat perancangan lagi membabitkan lantikan perunding dan dijangka kerja infrastruktur boleh dimulakan tahun depan.

"Hingga kini kita mendapat kerjasama baik malah baru-baru ini kita ada mengadakan perbincangan dengan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Kedah untuk projek ini," katanya di sini, hari ini.

Beliau ditemui pada program 'Kembara Kasih Ramadan 2016' Koridor Utara, di Masjid Kampung Bukit Tinggi, di sini.

Pada masa sama, Redza berkata, projek Bandaraya Getah dan KSTP yang mendapat kelulusan Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) dijangka mampu siap sepenuhnya menjelang 2030.

Beliau berkata, apabila siap kelak, kedua-dua projek ini menawarkan sebanyak 37,715 peluang pekerjaan khususnya kepada rakyat negeri ini.

Terdahulu, pada program 'Kembara Kasih Ramadan 2016', NCIA menyerahkan sumbangan kepada 200 keluarga miskin dari daerah Kubang Pasu.

NCIA turut melawat dua buah rumah di Kampung Bukit Tinggi untuk menyerahkan barangan keperluan kepada mereka.

Program ini bermula di Perlis sejak 21 Jun lalu membabitkan daerah Santan dan Bintong sebelum bergerak ke Selama, Perak dan berakhir di Kubang Pasu, dekat sini hari ini.

Berita Harian X