Rabu, 22 Jun 2016 | 10:00pm

Jangan bersifat ekstrem, taasub - Sultan Selangor

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bersama Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafudin Idris Shah dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengaminkan doa selepas merasmikan Masjid Raja Haji Fisabilillah, Cyberjaya ketika majlis berbuka puasa DYMM Sultan Selangor bersama rakyat. Mohd Fadli Hamzah
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bersama Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafudin Idris Shah dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengaminkan doa selepas merasmikan Masjid Raja Haji Fisabilillah, Cyberjaya ketika majlis berbuka puasa DYMM Sultan Selangor bersama rakyat. Mohd Fadli Hamzah

CYBERJAYA: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, mengingatkan umat Islam supaya tidak bersifat ekstremis dan taasub terhadap agama sehingga menolak kemajuan selain tidak mengikut lunas Islam yang sebenar.

 

Baginda bertitah, semangat jihad yang ada pada setiap umat Islam termasuk di Selangor perlu dimanfaat dan disalurkan ke tempat yang betul.

 

"Bukan dengan membabitkan diri dalam kegiatan keganasan atau pelampau agama seperti kumpulan IS, DAESH dan sebagainya.

 

"Harapan beta agar seluruh umat Islam di negeri ini bersatu padu dan bekerjasama untuk kemajuan serta kesejahteraan bersama," titah baginda.

 

Baginda bertitah demikian pada Majlis Perasmian Masjid Raja Haji Fi' Sabilillah, sempena Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat, di sini, hari ini

 

Pada majlis itut, baginda turut berkenan menyampaikan sumbangan duit raya kepada 377 golongan fakir, miskin dan mualaf. Yang turut hadir, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Hadir sama mengiringi baginda ialah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

 

Titah Sultan Sharafuddin, baginda juga tidak berkenan dengan golongan umat Islam yang terlalu liberal sehingga mengenepikan syariat Islam.

 

"Contohnya, seperti menghalalkan budaya yang terlalu bebas seperti LGBT serta mengamalkan budaya yang terkeluar daripada syariat Islam.

 

"Jadilah umat Islam yang mengikut landasan Islam sebenar dan sentiasa menjadikan al-Quran serta sunnah sebagai pegangan hidup," titah baginda.

 

Baginda bertitah, sempena bulan Ramadan, pegawai dan ahli jawatankuasa masjid harus mematuhi arahan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) supaya unsur politik tidak disebarkan di dalam masjid.

 

"Beta juga menitahkan agar penceramah dari luar negara tidak dibenarkan sama sekali menyampaikan ceramah di masjid negeri ini kecuali Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz, Masjid Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong dan Masjid Diraja Sultan Suleiman, Klang," titah baginda.

 

Baginda serta hadirin kemudian menunaikan solat Maghrib, Isyak dan Tarawih berjemaah di Masjid Raja Haji Fi' Sabilillah, yang mengambil sempena nama Raja Haji Fi' Sabilillah Ibni Opu Daeng Chelak, adinda kepada Sultan Selangor pertama, Almarhum Sultan Salehuddin Ibni Opu Daeng Chelak.

INFO

Masjid Raja Haji Fi' Sabilillah

Keluasan: 40.4 hektar  

Kos pembinaan: RM62 juta

Kapasiti: 10,200 jemaah

Masjid pertama di Malaysia guna sistem solar bagi jana elektrik 

Tamat

Berita Harian X