Sabtu, 28 Mei 2016 | 10:14pm

Hanya 813 sistem francais berdaftar dengan KPDNKK

Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Datuk Seri Hamzah Zainudin.

ALOR SETAR: Hanya 813 sistem francais membabitkan pelbagai sektor di seluruh negara didaftarkan dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) hingga April lalu.

Menteri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata antara faktor yang menyebabkan kurang penyertaan masyarakat dalam keusahawanan francais ialah kekangan modal, tiada pembiayaan dan kurangnya kesedaran.

Menyedari hakikat itu, katanya, kerajaan mewujudkan program pembangunan francais yang menyasarkan golongan berpendapatan rendah dan sederhana seperti Francais Komuniti.

"Kebanyakan bakal usahawan bimbang untuk melabur dalam bidang francais kerana berasa ia memerlukan modal besar dan berisiko tinggi.

"Bagi mengatasi persepsi ini, kerajaan memperkenalkan konsep skim francais mikro dengan modal tidak melebihi RM50,000," katanya pada perasmian Program Francais Komuniti Zon Utara 2016 di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Ketua Setiausaha KPDNKK, Datuk Seri Jamil Salleh.

Berita Harian X