X
Sabtu, 28 Mei 2016 | 7:27pm

KKM sasar 100,000 peserta ikuti e-Usahawan, e-Rezeki

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), Datuk Jailani Johari rasmi (dua kiri) beramah mesra dengan salah seorang pengunjung, Shamimi Athirah Jamaludin, 16, (tengah duduk) bersama ibu, Rokiah Mamat 54, (kiri) semasa membuat pendaftaran peniagaan online ' You Can Duit' di majlis Perasmian Kempen Komunikasi Agenda Merakyatkan Ekonomi Digital Hulu Terengganu di Dewan Majlis Daerah, Hulu Terengganu. - Foto Aswadi Alias

KUALA BERANG: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKM) menyasarkan pembabitan 100,000 peserta mengikuti kursus di bawah program e-Usahawan dan e-Rezeki menjelang akhir tahun ini.

Galakan penyertaan dalam program berkenaan dilaksanakan menerusi kempen secara atas talian #YOUCANDUIT di bawah Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari, berkata sejak dilancarkan pada Mac lalu di Kuching, Sarawak, #YOUCANDUIT, sudah mendapat sambutan 3,000 peserta.

Malah beliau berkata, ketika ini seramai 56,000 peserta termasuk usahawan berdaftar sudah menyertai e-Usahawan dan e-Rezeki yang dilancarkan sejak tahun lalu.

Kebanyakan usahawan yang mengikuti program berkenaan dapat meningkatkan pendapatan mereka sekali ganda dalam tempoh seminggu.

"Program ini memberi pendedahan mengenai ilmu dan kaedah keusahawanan digital yang disampaikan oleh Pusat Pendidikan Latihan Teknik dan Vokasional (TVET) menerusi kursus jangka pendek yang tidak melebihi enam bulan.

"Di bawah program perintis e-Usahawan yang dijalankan pada 2015, sebanyak 147 pusat TVET di seluruh negara terbabit dengan lebih 400 pensyarah sebagai pelatih induk dan lebih 2,300 pelajar dan 260 usahawan mikro.

"Hasilnya, hampir 80 peratus daripada mereka berjaya menjana pendapatan keseluruhan terkumpul hampir RM4 juta dalam masa enam bulan," katanya selepas merasmikan Kempen #YOUCANDUIT, di Dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu.

Sementara itu, Jailani berkata, Program e-Usahawan sedang diperluaskan kepada usahawan mikro di seluruh negara melalui kursus pendek di pusat TVET yang terpilih.

Berita Harian X