Khamis, 26 Mei 2016 | 9:39pm

Istilah baharu DBP dipersenda

Felo Penyelidik Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Junaini Kasdan pada wacana ATMA Peristilahan dan Masyarakat: Cabaran Masa Kini di bilik wacana ATMA UKM, Bangi. - Owee Ah Chun
Felo Penyelidik Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Junaini Kasdan pada wacana ATMA Peristilahan dan Masyarakat: Cabaran Masa Kini di bilik wacana ATMA UKM, Bangi. - Owee Ah Chun

BANGI: Usaha Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menggubal dan memperkenalkan istilah bahasa Melayu dalam bidang ilmu berdepan laluan mencabar terutamanya apabila istilah diperkenalkan itu dipersendakan masyarakat.

Felo Penyelidik Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Junaini Kasdan, berkata meskipun istilah diperkenalkan adalah wajar, masih ada kalangan masyarakat yang menganggapnya sebagai tidak bersesuaian dan melucukan.

Beliau berkata, perkara sama berlaku ketika frasa 'Grandma's teeth' dalam permainan boling, diberi istilah baharu dalam bahasa Melayu sebagai rongak sedangkan penggubalannya dilakukan mengikut pedoman pembentukan yang digariskan.

"Grandma's teeth ialah keadaan bola boling tidak mengenai dua pin di bahagian kiri dan kanan tetapi istilah pin rongak yang diberi nampaknya menjadi bahan lawak dalam masyarakat.

"Ada sesetengah anggota masyarakat dilihat boleh menerima frasa atau kata sama dalam bahasa Inggeris tetapi memberikan reaksi berbeza apabila mendengar istilah dalam bahasa Melayu," katanya kepada BH selepas Wacana ATMA, UKM di sini, hari ini.

Yang turut dihadiri Pengarah ATMA, Prof Dr Nor Hashimah Jalaluddin dan Perancang Bahasa Bahagian Peristilahan dan Leksikologi DBP, Mohd Fadzli Tajuid.

Sementara itu, Mohd Fadzli berkata, DBP sudah memperluaskan pengenalan istilah baharu termasuk melalui laman Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) tetapi ia berbalik kepada jati diri masyarakat sendiri.

"Dalam hal ini, kita sepatutnya mencontohi rakyat Indonesia yang membantu penyebaran pembentukan istilah yang baharu dibentuk, malah ia turut digunakan dengan meluas di semua media di negara itu," katanya.

Berita Harian X