Selasa, 24 Mei 2016 | 7:54pm

Bomba minta henti sebar berita pesawat terhempas

GAMBAR yang diviralkan di Facebook yang mendakwa kononnya sebuah pesawat ringan terhempas di Felda Mata Air di Padang Besar.
GAMBAR yang diviralkan di Facebook yang mendakwa kononnya sebuah pesawat ringan terhempas di Felda Mata Air di Padang Besar.

KUALA LUMPUR: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menafikan penyebaran berita palsu kononnya sebuah pesawat terhempas di Perlis.

JBPM yang membuat penafian itu menerusi akaun Twitternya, berkata insiden itu bukan berlaku di Perlis, sebaliknya gambar yang disebarkan itu diambil dari satu insiden lain.

"Berita berkenaan pesawat terhempas di Perlis adalah palsu. Hentikannya sebarannya," kata akaun Twitter itu.

Gambar itu mula diviralkan seorang pengguna Facebook pagi tadi yang mendakwa kononnya sebuah pesawat ringan terhempas di Felda Mata Air di Padang Besar.

Sementara itu, pemerhatian BH mendapati, gambar yang diviralkan itu diambil daripada insiden sebuah pesawat Twin Otter milik MASwings yang terhempas di Kudat,Sabah, tiga tahun lalu dan mengorbankan dua orang termasuk pembantu juruterbang.

Berita Harian X