Selasa, 10 Mei 2016 | 9:59am

Langkawi diiktiraf 8 pulau tercantik Asia

LANGKAWI: Langkawi terus dikenali dunia apabila muncul antara lapan pulau tercantik di Asia berdasarkan pandangan pelancong menerusi portal pelancongan terbesar, Tripadvisor.com.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Tan Sri Khalid Ramli, berkata sebelum ini pulau itu menduduki tangga ke-10 selepas beberapa pulau lain di Indonesia, Thailand dan Filipina.

"Pemilihan ini amat membanggakan kerana ia berdasarkan pandangan pelancong dari seluruh dunia yang dinyatakan dalam laman penyediaan maklumat pelancong TripAdvisor.com.

"Kita sentiasa memantau penulisan dalam majalah pelancongan utama dunia mengenai pandangan mereka terhadap Langkawi," katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan pangkalan nelayan Sungai Kuah bernilai lebih RM2 juta di sini, petang semalam.

Yang turut hadir, Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Nawawi Ahmad; Ahli Dewan Undangan Negeri Kuah, Nor Saidi Nanyan dan Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Langkawi, Mahadzir Ibrahim.

Khalid berkata, LADA giat berusaha dan berbincang dengan syarikat penerbangan untuk membawa lebih ramai pelancong ke pulau bebas cukai itu.

"Sehingga kini ada 227 penerbangan seminggu dari Kuala Lumpur ke Langkawi, berbanding hanya 100 penerbangan seminggu pada tahun 2010.

"Malah, seramai 664,349 pelancong mengunjungi Langkawi dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini, meningkat 14.8 peratus berbanding 578,622 dalam tempoh sama tahun lalu," katanya.

Berita Harian X