Rabu, 4 Mei 2016 | 6:54pm

Peribahasa mampu bentuk penguasaan bahasa kanak-kanak

Isteri Menteri Pendidikan Malaysia, Datin Seri Noraini Abdullah (dua dari kiri) bersama Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Dewan Bahasa dan Pustaka, Kamarulzaman Shaharudin (tiga dari kanan) merasmikan Pelancaran Buku Cerita Peribahasa Untuk Kanak-kanak sambil diperhatikan Penulis buku, Maslina Yusoff (kiri), Isteri Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Roos Mohamed, (tiga dari kiri), Pengarah Jabatan Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, Khalik Sulaiman, (dua dari kanan) serta Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera Dewan Bahasa dan Pustaka, Datuk Abang Sallehuddin Abang Shokeran di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2016, di Malaysia Agro Exposition Park Serdang MAEPS. - Foto Zulfadhli Zulkifli

SERDANG: Penyampaian pengajaran kepada kanak-kanak dengan menggunakan sastera tradisi Melayu seperti peribahasa, mampu membentuk mereka menjadi insan lebih berketerampilan termasuk penguasaan bahasa.

Isteri Menteri Pendidikan, Datin Seri Noraini Abdullah, berkata peribahasa yang menjadi sebahagian identiti Melayu, mampu membantu penguasaan bahasa Melayu kanak-kanak yang lebih menyeluruh.

"Peribahasa sebahagian tradisi Melayu yang berasaskan budaya setempat dan tidak dipengaruhi dengan budaya asing.

"Ia sesuai untuk digunakan sebagai pengajaran kepada kanak-kanak supaya penguasaan terhadap ragam bahasa Melayu dan tidak terhad kepada tujuan memperoleh ilmu semata-mata," katanya ketika melancarkan Buku Siri Cerita Peribahasa Untuk Kanak-Kanak di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2016 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Isteri Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Roos Mohamed; Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) DBP, Kamarulzaman Shaharudin; Pengarah Jabatan Penerbitan DBP, Khalik Sulaiman; dan Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abang Shokeran.

Naskhah Cerita Peribahasa Untuk Kanak-Kanak terbitan DBP ini menampilkan tiga judul, iaitu Hendak Seribu Daya, Tak Nak Seribu Dalih; Bagaimana Acuan, Begitulah Kuihnya; dan Patah Tumbuh Hilang berganti yang ditulis Maslina Yusoff.

Menampilkan watak kanak-kanak perempuan, Mila, naskhah ini ditulis dengan hasrat menanam sifat menghargai dan mencintai usaha mengembangkan penggunaan peribahasa dalam kanak-kanak untuk menimbulkan rasa sayang mereka terhadap warisan bangsa.

Berita Harian X