Jumaat, 29 April 2016 | 3:39pm

'Hang Tuah sampai bila pun tidak dapat dibuktikan'

DARI kiri; Kay Kim, Ahmat, Abdullah Zakaria dan Loir.
DARI kiri; Kay Kim, Ahmat, Abdullah Zakaria dan Loir.

KUALA LUMPUR: Kegagalan sarjana yang pro dan kontra dalam polemik Hang Tuah untuk membuktikan hujah mereka menunjukkan kewujudannya tidak mungkin boleh dibuktikan sampai bila-bila pun.

Felo Penyelidik Akademi Pengajian Melayu (APM), Universiti Malaya (UM), Prof Dr Henri Chambert Loir, berkata hal itu hanya akan membuka lebih banyak ruang kajian dan perdebatan, sekali gus menunjukkan Hang Tuah hanyalah 'tokoh' dalam naskhah Sulalatus Salatin dan Hikayat Hang Tuah.

"Felo Penyelidik Jabatan Sejarah UM, Prof Emeritus Dr Ahmat Adam gagal membuktikan Hang Tuah tidak wujud kerana sangat mustahil untuk menggunakan hujah salah bacaan ejaan jawi sedangkan naskhah berkenaan sudah wujud sejak ratusan tahun lalu sehingga kewujudan tokoh berkenaan sudah diterima oleh seluruh rakyat Malaysia.

"Justeru adalah sangat menggemparkan apabila Ahmat mendakwa Hang Tuah tidak wujud hanya dengan hujah itu," katanya pada Forum Antara Sejarah dan Mitos: Sejarah Melayu dan Hang Tuah dalam Historiografi Malaysia sempena Majlis Pelancaran Antara Sejarah dan Mitos karya Ahmad Adam di UM di sini, semalam.

Yang turut hadir ialah Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial UM, Prof Dr Md Sidin Ahmad Ishak; Profesor Jabatan Sejarah UM, Prof Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali dan sejarawan, Tan Sri Prof Dr Khoo Kay Kim.

Loir berkata, ejaan jawi ketika itu membolehkan perkataan yang menimbulkan pertikaian dibaca sebagai toh, tuha atau tuah, sekali gus tidak menjadi kesalahan apabila sarjana lain menerima nama Tuah.

"Hujah Ahmat yang mendakwa nama sebenar tidak boleh dipakai selepas dikurniakan gelaran oleh sultan pula, tidak dapat diterima kerana tiada fakta menyokongnya sedangkan sarjana perlu bertolak dengan fakta dan bukannya membuat kesimpulan berdasarkan andaian sendiri," katanya.

Pada masa sama, Loir turut menyifatkan buku tulisan Prof Dr Hashim Musa dan Dr Rohaidah Kamaruddin, iaitu Hang Tuah: Catatan Okinawa pula gagal membuktikan Hang Tuah wujud, sekali gus kewujudannya hanya andaian sarjana berkenaan.

"Mereka menggunakan hujah dokumen rasmi 19 surat Empayar Ryukyu (sekarang Okinawa), iaitu Rekidai Hoan yang mencatat kewujudan surat dari Kerajaan Melaka dan Catatan Ketua Armada Portugis, Alfonso de Albuquerque mengenai laksamana lelaki berusia 80 tahun memiliki reputasi hebat yang berhijrah ke Singapura selepas kejatuhan Melaka.

"Dokumen itu tidak menyebut nama Hang Tuah secara terperinci, sebaliknya hanya membuktikan adanya laksamana hebat pada zaman Kesultanan Melayu Melaka," katanya.

Berita Harian X