Khamis, 28 April 2016 | 7:21pm

Terjemah lebih banyak karya sastera Malaysia, China

TIMBALAN Ketua Pengarah (Dasar), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Prof Dr Zaharani Ahmad. - Foto Nazran Jamel
TIMBALAN Ketua Pengarah (Dasar), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Prof Dr Zaharani Ahmad. - Foto Nazran Jamel

KUALA LUMPUR: Jaringan kerjasama dalam bentuk penerbitan dan terjemahan karya agung sastera antara Malaysia dengan China mampu meluaskan pasaran buku secara komersial.

Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Prof Dr Zaharani Ahmad, berkata masa depan bahasa Melayu dan karya sastera tanah air mempunyai potensi untuk dikembangkan ke China seiring dengan hubungan diplomatik yang terbina sejak empat dekad lalu.

"Jika kita susuri sejarah, hubungan persahabatan dan kerjasama Malaysia-China berlaku sejak lama dulu yang merangkumi pelbagai bidang terutama pendidikan.

"Umpamanya bagi mengembangkan bahasa Melayu, terdapat beberapa universiti di China menawarkan jurusan bahasa Melayu, selain membantu dalam usaha penterjemahan karya bermutu dari negara ini untuk pasaran mereka.

"Perdana Menteri China, Li Keqiang umpamanya pernah melancarkan karya terjemahan dan terbitan DBP, iaitu Hikayat Jelajah ke Barat semasa lawatannya ke negara ini pada 2015," katanya pada Majlis Penghargaan Duta Bahasa dan Budaya di Dewan Bahasa dan Pustaka di sini, hari ini.

Majlis penghargaan kepada Duta Besar Khas Plenipotensiari China ke Malaysia, Dr Huang Huikang itu ialah pengiktirafan kepada sumbangannya dalam usaha mengembangkan bahasa Melayu pada peringkat antarabangsa, khususnya menerusi penerbitan naskhah terjemahan dalam dua bahasa, iaitu bahasa Melayu dan Mandarin.

Yang turut hadir ialah Huikang, Pengerusi Pusat Kebudayaan Han Malaysia, Datuk Goh Hin San; Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abang Shokeran dan Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, Padilah Ali.

Antara hasil karya terjemahan agung China terbitan bersama DBP dan Persatuan Penterjemahan dan Penulisan Kreatif Malaysia (PERSPEKTIF) ialah Hikayat Pinggir Air yang diterbitkan pada 2001; Hikayat Tiga Negara (2012) dan Hikayat Jelajah ke Barat (2015).

Berita Harian X