Rabu, 27 April 2016 | 5:44pm

PRN-11: Najib di Sarawak hingga 3 Mei ini

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak tiba pada sesi taklimat tertutup persiapan Barisan Nasional (BN) Sarawak pada PRN-11 di bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) lama, di Petra Jaya, hari ini. - Foto Syarafiq Abd Samad
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak tiba pada sesi taklimat tertutup persiapan Barisan Nasional (BN) Sarawak pada PRN-11 di bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) lama, di Petra Jaya, hari ini. - Foto Syarafiq Abd Samad

KUCHING: Datuk Seri Najib Razak tiba di Kuching petang ini, dalam siri rangka lawatannya ke Bumi Kenyalang hingga 3 Mei depan, sempena Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN-11).

Perdana Menteri tiba di bandar raya ini pada jam 4.54 petang tadi, sebelum menghadiri sesi taklimat tertutup persiapan Barisan Nasional (BN) Sarawak pada PRN-11 di bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) lama, di Petra Jaya.

Malam ini Najib dijadual menghadiri program 'walk-about' dan merasmikan balai raya di Taman Desa Wira, Jalan Batu Kawa, di Kuching.

Bermula esok, Najib mempunyai jadual padat memulakan penjelajahannya ke seluruh pelusuk negeri ini dimulai dengan kunjungan ke Pekan Siburan, Jalan Kuching-Serian, di sini sebelum menghadiri majlis makan tengah hari di Kampung Bunan Kedup; 'walk-about' di Bukit Semoja serta melawat dua buah kampung di Petra Jaya.

Lawatan Najib ke negeri ini kemudian diteruskan di Miri, bermula Jumaat ini bagi menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Lawas, selain melancarkan Skim Pinjaman Rumah Panjang di Uma Eda Beran, Long Laput, di Marudi.

Pada Sabtu, Najib dijadual berkunjung ke pasar Marudi, dan menghadiri satu majlis di Kampung Mareng Penang, Jambatan Suai, Miri, sebelum dijadual berlepas ke Mukah, pada petang hari berkenaan.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN, turut dijadual mengadakan lawatan ke Betong, Isnin ini, sebelum ke Sri Aman, pada Selasa dan mengakhiri kunjungannya dengan merasmikan Program Hikmah Exchange di Jalan Haji Taha, Kuching.

Berita Harian X