Jumaat, 22 April 2016 | 9:43am
LEBIH 2,000 jemaah menunaikan solat Istisqa' di padang hoki di Jalan Mahmood, Kota Bharu, hari ini bagi memohon hujan berikutan fenomena cuaca panas melampau yang melanda negara ketika ini. - Foto Fathil Asri
LEBIH 2,000 jemaah menunaikan solat Istisqa' di padang hoki di Jalan Mahmood, Kota Bharu, hari ini bagi memohon hujan berikutan fenomena cuaca panas melampau yang melanda negara ketika ini. - Foto Fathil Asri

Penduduk Kelantan adakan solat Istisqa' mohon hujan

KOTA BHARU: Lebih 2,000 jemaah menunaikan solat Istisqa' di padang hoki di Jalan Mahmood, hari ini bagi memohon hujan berikutan fenomena cuaca panas melampau yang melanda negara ketika ini.

Solat sunat dua rakaat itu diimamkan Timbalan Mufti Kelantan, Nik Abdul Kadir Nik Mohamad.

Ia disusuli khutbah khas yang antara lain memohon hujan membasahi tanah yang mula kekeringan.

Ibadat sunat muakkad itu dilakukan sebaik selesai solat Subuh, yang dituntut dilakukan oleh umat Islam jika sesuatu kawasan mengalami kemarau panjang dan sukar memperoleh sumber air.

TIMBALAN Mufti Kelantan, Nik Abdul Kadir Nik Mohamad, membaca doa selepas menunaikan solat Istisqa'. - Foto Fathil Asri
TIMBALAN Mufti Kelantan, Nik Abdul Kadir Nik Mohamad, membaca doa selepas menunaikan solat Istisqa'. - Foto Fathil Asri

Jemaah mula berhimpun pada jam 4.15 pagi dengan melakukan solat sunat tahajud, taubat, hajat dan witir sementara menunggu solat Subuh.

Nik Abdul Kadir ketika ditemui selepas itu, turut mengajak umat Islam melakukan solat itu secara berterusan, baik secara individu mahu pun berjemaah.

"Ini adalah usaha kita memohon bantuan Allah dalam keadaan cuaca panas kering di seluruh negara.

"Kita digalak melakukannya dalam cuaca panas seperti ini, kita perlu bermunajat dan memohon pertolongan dari Allah.

"Alhamdulillah, kehadiran amat menggalakkan dan saya bersyukur kerana lebih 2,000 jemaah menunaikan solat sunat ini.

Semoga yang didoakan dapat dimakbulkan," katanya ketika ditemui pemberita selepas selesai Munajat Perdana dan Solat Sunat Istisqa', di sini, sebentar tadi.

Turut hadir, Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Berita Harian X