Selasa, 19 April 2016 | 8:30pm

Sarjana gagal capai kata sepakat kewujudan Hang Tuah

PERBINCANGAN Meja Bulat Kedudukan Hang Tuah hari ini gagal mencapai kesepakatan.
PERBINCANGAN Meja Bulat Kedudukan Hang Tuah hari ini gagal mencapai kesepakatan.

KUALA LUMPUR: Perbincangan Meja Bulat Kedudukan Hang Tuah dalam Sejarah Tamadun Melayu di PNB Hotel & Suites di sini, hari ini gagal mencapai kesepakatan tentang kewujudan laksamana yang bernama Hang Tuah.

Ini berikut Karyawan Tamu Jabatan Sejarah Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya (UM), Prof Emeritus Dr Ahmat Adam yang sebelum ini mencetuskan kontroversi yang menolak kewujudan Hang Tuah, hanya bersetuju kewujudan laksamana Melayu di Melaka yang hebat dengan nama Hang Toha.

Ahmat berkata, beliau hanya akan menerima Hang Tuah itu wujud jika kewujudannya boleh dibuktikan melalui kajian DNA atau penemuan lain yang mengesahkan laksamana hebat pada zaman empayar Melaka itu sebagai Hang Tuah.

Selain Ahmat, majlis itu turut mengundang Pro Canselor Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM), Prof Emeritus Datuk Dr Mohd Yusoff Hashim; Pensyarah Sejarah, Universiti Malaya (UM), Prof Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali dan Pensyarah Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Emeritus Dr Hashim Musa.

Sementara itu, Abdullah Zakaria berkata, pandangan Ahmat yang hanya membuat kesimpulan menolak kewujudan Hang Tuah bersandarkan kajian filologi asal-usul perkataan semata-mata sedangkan kebanyakan versi Sulalatus Salatin menyebut tentang kepahlawanan Hang Tuah.

"Selain itu, tulisan jawi juga mengalami banyak perubahan. Kegagalan membaca mengikut zaman tulisannya dihasilkan menyebabkan berlaku pelbagai versi sebutan hingga timbulnya ejaan Tuah yang dibaca Toha," katanya.

AHMAD Sarji (dua dari kiri) mempengerusikan perbincangan Meja Bulat Kedudukan Hang Tuah dalam Sejarah Tamadun Melayu di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Hasriyasyah Sabudin
AHMAD Sarji (dua dari kiri) mempengerusikan perbincangan Meja Bulat Kedudukan Hang Tuah dalam Sejarah Tamadun Melayu di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Hasriyasyah Sabudin

Yang turut hadir ialah Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tun Ahmad Sarji dan Penyelidik UPM yang juga Pengarang Bersama Hang Tuah: Catatan Okinawa, Dr Rohaidah Kamaruddin.

Abdullah Zakaria berkata, penggunaan kata nama diri Laksamana menjadi kebiasaan masyarakat untuk memanggil seseorang dengan pangkat kurniaan dianugerahkan oleh sultan atau raja.

"Panggilan itu sebagai tanda penghargaan sehingga tidak mustahil nama asalnya, iaitu Hang Tuah tidak lagi disebut," katanya.

Pandangan Abdullah Zakaria senada dengan pakar sastera tradisional Dr Harun Mat Piah yang menyifatkan pandangan Ahmat melucukan kerana sekiranya nama Hang Tuah tidak direkodkan dalam mana-mana naskhah, ia tidak bermaksud tokoh itu tidak wujud.

"Contohnya dalam kitab tibb atau perubatan lama, terdapat ribuan perkataan yang digunakan dalam naskhah tetapi tidak ditemui dalam mana-mana kamus tetapi ia tidak bermakna amalan perubatan itu tidak wujud," katanya.

Sementara itu, Rohaidah berkata, kewujudan Hang Tuah disahkan melalui kajiannya sendiri bersama pasukan penyelidik yang mendapatkan dokumen berkaitan kewujudan Hang Tuah di Okinawa, Jepun dan Goa, India.

"Pemergian Hang Tuah ke ke Ryukyu (sekarang Okinawa) sebagai wakil diplomatik Sultan Alaudin Riayat Shah seperti yang ditulis dalam Hikayat Hang Tuah, hal sama juga terkandung dalam catatan rasmi empayar itu, Rekidai Hoan.

"Rekidai Hoan ditulis dalam bahasa Cina yang diterjemahkan ke bahasa Inggeris oleh Atushu Kobata dan Mitsugi Matsada yang diterbitkan pada 1969, sekali gus menjadi bukti baharu dalam bentuk primer tentang kewujudan Hang Tuah," katanya.

Beliau berkata, ketika di Goa, pihaknya bertemu dengan artifak yang memperlihatkan ukiran batu seorang lelaki berdestar dan lambang bunga teratai yang menjadi lambang rasmi Kesultanan Melayu Melaka.

"Ia membuktikan kebenaran catatan dalam Hikayat Hang Tuah yang menyebut tokoh itu pernah berada di India dan memberikan khidmat menjinakkan kuda kepada penguasa di negara berkenaan," katanya.

Sementara itu, Hashim berkata, beliau dan pasukannya merancang untuk mengadakan ujian DNA dan mendapatkan sampel daripada kubur Hang Tuah di Tanjung Keling.

Perbincangan anjuran Yayasan Karyawan, Persatuan Sejarah Malaysia dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu, disertai hampir 30 sarjana bidang sejarah, sastera, budaya dan bahasa yang bertujuan merumuskan polemik kewujudan Hang Tuah sejak Disember secara ilmiah.

Berita Harian X