X
Isnin, 18 April 2016 | 11:28am

Umat Islam diseru tunai solat Istisqa' esok

Datuk Othman Mustapha.
Datuk Othman Mustapha.

PUTRAJAYA: Umat Islam dan masjid di seluruh negara diseru menunaikan solat Istisqa' (solat minta diturunkan hujan) esok bagi memohon kepada Allah menurunkan hujan untuk mengatasi kemarau panjang yang melanda negara.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Othman Mustapha, berkata solat sunat dua rakaat berkenaan harus dilakukan sejurus selepas solat Zohor bagi mendoakan supaya negara ini terhindar daripada kesan kepanasan melampau dan keadaan cuaca kembali pulih.

"Saya meminta masjid utama di bawah kelolaan JAKIM iaitu Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin serta seluruh masjid dan surau Jumaat di bawah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan untuk menunaikan solat Istisqa' ini.

"Selain itu, saya memohon kerjasama dan jasa baik pihak Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) di seluruh Malaysia supaya dapat mengadakan solat Istisqa' di seluruh masjid serta surau di bawah seliaan agensi masing-masing," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Othman berkata, solat Istisqa' adalah sunat muakkad (sangat dituntut) bagi penduduk Islam di sesuatu tempat yang sudah lama mengalami kemarau, musim kering, berjerebu dan kesukaran memperoleh sumber air.

"Semoga dengan pelaksanaan solat Istisqa' di seluruh negara kali ini, hujan akan turun membasahi bumi dan dapat memulihkan cuaca di negara kita," katanya.

Berita Harian X