Sabtu, 16 April 2016 | 7:18pm

TPM lawat MB Kelantan di HUSM

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menziarahi Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kota Bharu, hari ini.
TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menziarahi Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kota Bharu, hari ini.

KOTA BHARU: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menziarahi Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob yang dimasukkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di sini, sejak Rabu lalu akibat pendarahan di kepala.

Beliau yang baharu selesai menghadiri Program Sejiwa Senada Peringkat Bahagian Samarahan, Sarawak, meluangkan masa selama 10 minit di Wad 2 Delima (Unit Rawatan Rapi Neuro) sebaik tiba pada jam 5.50 petang, di HUSM dari di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Pengkalan Chepa di sini.

Turut hadir, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Hamzah Zainuddin; EXCO kerajaan negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood; Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Hanafi Mamat; Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Datuk Dr Ahmad Razin Ahmad Maher; dan Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan, Datuk Makhtar Mustapa.

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi diiringi Menteri KPDNKK, Datuk Hamzah Zainuddin meluangkan masa menziarahi Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob di HUSM, Kubang Kerian, hari ini. - Foto Syamsi Suhaimi

Ahmad Zahid berkata, lawatan ini khusus untuk melihat secara dekat keadaan Menteri Besar dan keadaannya semakin baik.

"Lawatan ini khusus untuk menemui Menteri Besar. Tidak ada lawatan lain.

"Saya mendoakan agar Yang Amat Berhormat cepat sembuh dan mengikut doktor keadaannya cukup baik. Kita sama-samalah berdoa agar beliau dapat bertugas semula dan dia boleh bercakap dengan baik. Alhamdulillah," katanya kepada media selepas melawat Ahmad di Wad Delima, tadi.

Ahmad berkata, Kerajaan Pusat akan melaksanakan beberapa perkara dengan kerajaan negeri.

"Ini bukan politik, ia mudah-mudahan untuk kepentingan rakyat Kelantan. Insya-Allah," katanya.

Menteri Besar dimasukkan ke HUSM pada Rabu lalu akibat pendarahan dalam kepala. Beliau selamat menjalani pembedahan di kepala bagi membuang darah beku pada Khamis lalu.

Berita Harian X