Sabtu, 9 April 2016 | 2:35pm

13,000 daftar sahabat zakat PPZ-MAIWP

KUALA LUMPUR: Seramai 13,000 sukarelawan mendaftar sebagai sahabat zakat Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) sejak ditubuhkan dua tahun lalu.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman, berkata pelbagai program dianjurkan dalam usaha menarik lebih ramai sukarelawan terbabit sebagai sahabat zakat.

Katanya, sahabat zakat ibarat ejen dakwah yang mengajak dan memberi maklumat berhubung kewajipan umat Islam menunaikan zakat.

"Pendekatan lebih segar ini diharap dapat meningkatkan kesedaran umat Islam kewajipan mengeluarkan zakat untuk golongan asnaf.

"Program anjuran PPZ-MAIWP lebih mesra dan segar dengan menyasarkan tempat tumpuan awam seperti Downtown dan pasar tani manakala sektor swasta dan kerajaan dijadikan platform mendekati pembayar zakat," katanya kepada pemberita, sebentar tadi.

Terdahulu, PPZ-MAIWP menganjurkan program bicara 'Route to Jannah' bersama Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, yang disertai 200 penunggang motosikal berkuasa besar termasuk sahabat zakat di Restoran Terapung D'Saji Titiwangsa.

Mengenai program itu, Abdul Halim berkata, ia bertujuan menyebar luas maklumat mengenai zakat, selain merapatkan hubungan dalam kalangan pembayar zakat.

Berita Harian X