Khamis, 31 March 2016 | 7:21pm

El Nino tak jejaskan takungan empangan - Shabery

MENTERI Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek melancarkan Produk Kecantikan, Nutrima-Cellcode di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto BERNAMA
MENTERI Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek melancarkan Produk Kecantikan, Nutrima-Cellcode di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani memberi jaminan takungan air di empangan agensinya mencukupi bagi kegunaan pesawah dalam keadaan cuaca panas dan kering melampau susulan fenomena El Nino.

Menteri, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, berkata ia merangkumi empangan diuruskan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) dan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA).

Katanya, takungan air di empangan milik tiga agensi itu memadai bagi menampung sistem pengairan untuk penanaman padi tahun ini.

"Jadual penanaman padi di setiap negeri berbeza dan bekalan air sudah dilepaskan di Kedah bermula minggu lalu.

"Bagi negeri lain, bekalan air akan dilepaskan secara berperingkat dan kita harap pesawah mematuhi jadual penanaman padi," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Produk Kecantikan, Nutrima-Cellcode di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Dr Ismail Bakar; Pengerusi Lembaga Pengelola Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Datuk Mohd Fadil Osman; dan Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr Sharif Haron.

Ahmad Shabery berkata, cuaca panas bukan punca bendang kering-kontang dan tanah merekah, sebaliknya sengaja dibiar kering sebagai prosedur biasa penanaman semula padi di semua negeri.

Berita Harian X