Ahad, 20 March 2016 | 4:01pm
TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengangkat tangan tanda memberi sokongan jitu ketika hadir pada Majlis Pemimpin bersama Rakyat di Rumah Intai, Menuang, Limbang. - Foto Nadim Bokhari
TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengangkat tangan tanda memberi sokongan jitu ketika hadir pada Majlis Pemimpin bersama Rakyat di Rumah Intai, Menuang, Limbang. - Foto Nadim Bokhari

Hubungan Pusat dengan Sarawak, Sabah kukuh - TPM

LIMBANG: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan hubungan antara Kerajaan Persekutuan, Sarawak dan Sabah berada pada landasan cukup kukuh yang mampu membawa kemakmuran berpanjangan kepada kedua-dua negeri terbabit.

Bagi Timbalan Perdana Menteri, keakraban hubungan yang terhasil dari semangat setiakawan jitu itu amat dicemburui pihak tertentu, khususnya pembangkang. 

Katanya, tidak menghairankan apabila sejak kebelakangan ini, terdapat banyak cubaan untuk meretakkan hubungan baik antara Kerajaan Pusat dan kerajaan kedua-dua negeri terbabit yang terjalin sejak sekian lama. 

"Namun, percayalah.... ia tidak pernah dan tidak akan goyah. Ada kumpulan tertentu berpendapat kerajaan yang sudah lama memerintah harus ditukar... itu pandangan yang tidak munasabah.  

"Jangan sesekali samakan tukar kerajaan seperti tukar baju atau kereta. Kerajaan Pusat, Sarawak dan Sabah sudah bekerjasama sejak tahun 1974 sehingga sekarang. 

"Ia sudah menunjukkan satu kombinasi yang baik untuk pembangunan Sarawak dan Sabah. Hubungan akan kekal utuh sampai bila-bila," katanya ketika merasmikan Pesta Badudun dan Lumba Kerbau di sini sebentar tadi.

Ahmad Zahid dalam rangka lawatan kerja sehari ke wilayah utara negeri ini. Turut mengiringinya Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Ke-II, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Ahli Parlimen Limbang, Hasbi Habibollah.

Sementara itu, pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Panjang Intai, Ahmad Zahid berkata, kepemimpinan Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem  perlu dipertahankan pada pilihan raya negeri akan datang bagi membawa kemajuan berterusan untuk Sarawak.

Katanya, keupayaan pemimpin veteran itu sudah terbukti mampu membela rakyat di peringkat akar umbi menerusi perjuangannya sejak mengambilalih pentadbiran negeri.

"Saya sedia maklum sebahagian parti pembangkang dari Semenanjung sudah mengumumkan manifesto masing-masing sebagai umpan kepada rakyat Sarawak, namun sejauh mana mereka mampu melaksanakannya masih menjadi tanda tanya.

"Bagi Barisan Nasional (BN), apabila kita melancarkan aku janji dan manifesto, ia dirangka bersandarkan keupayaan kita melaksanakannya, malah rekod sudah membuktikannya," katanya.

Berita Harian X