Selasa, 15 March 2016 | 3:06pm

8 payung gergasi beri teduhan ruang solat

REPLIKA payung gergasi yang dipasang di Masjidilharam.
REPLIKA payung gergasi yang dipasang di Masjidilharam.

KUALA LUMPUR: Masjidilharam di Makkah bakal melakar sejarah apabila lapan payung 'gergasi', masing-masing seberat 16 tan akan dipasang di ruang solat utama.

Kanopi payung berasaskan bahan sintetik polytetrafluroethylene (PTFE) itu berupaya mengurangkan suhu daripada pancaran matahari sehingga lapan darjah celsius.

Ia sekali gus akan memberi keselesaan kepada umat Islam untuk menunaikan solat dan melakukan tawaf.

Saudi Gazette melaporkan proses pembinaan mencakupi penyediaan tapak asas dan pemasangan lapan payung gergasi dan 54 unit lagi yang lebih kecil di ruang legar utara Masjidilharam sejak Khamis lalu, dijangka selesai dalam tempoh enam bulan.

Kemudahan lengkap

Dihasilkan di Jerman, payung terbesar seumpamanya itu turut dilengkapi beberapa kemudahan seperti pendingin hawa, kamera keselamatan dan skrin yang memaparkan maklumat berkaitan solat.

Seramai 25 kakitangan yang membabitkan jurutera, juruteknik dan pakar keselamatan dari Jerman menyelia proses pemasangan serta operasi elektronik payung gergasi itu.

"Apabila siap kelak, lapan payung gergasi ini akan memberi teduhan seluruh plaza utara, bermula dari projek struktur pembesaran Raja Fadh sehingga Raja Abdullah, mencakupi luas kawasan sehingga 19,200 meter persegi apabila dibuka sepenuhnya.

PAYUNG gergasi setinggi 45 meter menggunakan teknologi Jerman.
PAYUNG gergasi setinggi 45 meter menggunakan teknologi Jerman.

Tampung 400,000 jemaah

"Teduhan ini boleh menampung sehingga 400,000 umat Islam," lapor portal berpangkalan di Jeddah, Arab Saudi itu.

Pemasangan payung untuk memberi teduhan seluas dua kali ganda saiz padang bola sepak itu adalah inisiatif Almarhum Raja Abdullah Abdulaziz, iaitu Raja Arab Saudi, sebelum kemangkatannya 24 Januari tahun lalu.

Imam Besar Masjidilharam, Sheikh Abdulrahman al-Sudeis, dilaporkan berkata projek teduhan menggunakan 250 payung bersaiz lebih kecil sudah dilaksana di sekitar makam Nabi Muhammad SAW di Madinah.

Bagaimanapun, katanya, projek pemasangan payung gergasi di Makkah itu akan menggunakan teknologi terkini dari Jerman, selain pembukaan dan penutupannya diprogramkan mengikut sela masa tertentu.

"Setiap kanopi payung mengambil tempoh tiga minit untuk kembang sepenuhnya. Justeru masa diperuntukkan bagi pembukaan tujuh unit lagi perlu tepat supaya tiada pelanggaran antara komponen.

gn4id:12513465

Operasi tidak ganggu jemaah

"Operasinya tidak menghasilkan gangguan bunyi sehingga menjejaskan ibadat pengunjung, malah masa pembukaan dan penutupannya diprogramkan mengikut perubahan suhu semasa," katanya.

Pada musim panas, payung gergasi masing-masing setinggi 45 meter itu akan dibuka ketika waktu siang untuk menghalang sinaran dan radiasi matahari, sebelum ditutup menjelang malam bagi memberi ruang kepada haba lebihan yang diserap permukaan lantai masjid dibebaskan ke atmosfera.

Bagaimanapun, proses itu berbeza ketika musim sejuk kerana payung akan ditutup pada waktu siang supaya haba daripada sinaran matahari sampai ke permukaan lantai masjid sebelum dibiarkan terbuka menjelang malam untuk memerangkap haba.

Payung gergasi Masjidilharam: Halang pancaran langsung matahari -- http://www.bharian.com.my/node/133976

Berita Harian X