X
Jumaat, 11 March 2016 | 3:08pm
GAMBAR fail Lapangan Terbang Sultan Ismail (LTSIP) Pengkalan Chepa.
GAMBAR fail Lapangan Terbang Sultan Ismail (LTSIP) Pengkalan Chepa.

Kabus tebal, 5 penerbangan berpatah balik

KOTA BHARU: Lima daripada 10 penerbangan domestik membabitkan pesawat Malaysia Airlines Berhad, Firefly, Air Asia dan Malindo dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu terpaksa berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), awal pagi tadi.

Ia berikutan kabus tebal dan jarak penglihatan terhad yang menyebabkan pesawat terbabit tidak dapat mendarat di Lapangan Terbang Sultan Ismail (LTSIP) Pengkalan Chepa, di sini.

Ia turut menyebabkan lebih 1,000 penumpang termasuk kira-kira 500 penumpang dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur terkandas lebih dua jam.

Penerbangan sebelum jam 8 pagi itu membabitkan dua pesawat Firefly dan satu Air Asia yang terpaksa mendarat di LTAPP.

Dua penerbangan dari KLIA pesawat Malaysia Airlines dan Malindo berpatah balik ke KLIA manakala lima penerbangan dari Kota Bharu Ke Kuala Lumpur dari jam 8 pagi hingga 10 pagi tidak dapat berlepas ke Kuala Lumpur.

Pengurus LTSIP, Ramzi Ahmad, berkata semua penerbangan terkandas dua jam antara jam 8 pagi hingga 10 pagi disebabkan kabus yang tebal.

"Jarak penglihatan kabur kurang 500 meter berbanding jarak minimum yang dibenarkan untuk mendarat ialah sekurang-kurangnya 800 meter," katanya ketika dihubungi di sini.

Berita Harian X