Isnin, 7 March 2016 | 11:50am

MILF tetap perjuang proses damai

PENGERUSI MILF, Murad Ebrahim.
PENGERUSI MILF, Murad Ebrahim.

SERI KEMBANGAN: Pengerusi MILF, Murad Ebrahim mengharapkan rang undang-undang damai, Undang-Undang Asas Bangsamoro (BBL) diluluskan dalam pentadbiran baharu di Filipina selepas penggal Presiden Filipina, Benigno Aquino III tamat pertengahan tahun ini.

Murad berkata, ketika ini kelulusan rang undang-undang itu gagal dimuktamadkan pemimpin kongres negara itu disebabkan beberapa isu besar, namun proses itu akan tetap diperjuangkan MILF.

"BBL gagal dimuktamadkan ketika pentadbiran Aquino namun usaha kami tidak berhenti setakat ini kerana masih berharap pentadbiran baharu yang dibentuk nanti bakal memberi ruang untuk kelulusan rang undang-undang ini.

"Bagaimanapun, saya harus akui bahawa kami belum melihat ahli politik yang bersungguh-sungguh mahu menamatkan perkara ini ke arah yang lebih baik," katanya di sini, tadi.

Ditanya punca kegagalan pembentukan BBL, Murad mengakui Tragedi Mamasapano yang mengorbankan 44 ahli Pasukan Tindakan Khas (SAF) Januari tahun lalu menjadi antara penyebab utama BBL belum dimuktamadkan.

"Kami tidak tahu sama ada tragedi itu berlaku untuk mensabotaj pembentukan BBL namun harus diakui kejadian itu menyumbang kepada kegagalan hari ini," katanya.

Draf rang undang-undang yang mahu diluluskan itu bertujuan menamatkan pemberontakan kumpulan pemisah di Mindanao yang menyaksikan lebih 100,000 nyawa terkorban sejak 1970-an.

Pelaksanaan rang undang-undang itu akan menyaksikan pembentukan kawasan autonomi Bangsamoro dan memberi pendekatan pentadbiran sendiri kepada penduduk minoriti beragama Islam di selatan negara ini.

Berita Harian X