Rabu, 24 Februari 2016 | 2:00pm

Promosi 2 hala tingkat pelancongan Kelantan-Langkawi

KOTA BHARU: Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dengan kerjasama Syarikat Penerbangan Firefly dan Tourism Malaysia Kelantan, menganjurkan sesi 'Business to Business' Langkawi-Kelantan selama tiga hari, bermula semalam.

Ia antara lain bertujuan merancakkan pelancongan domestik dua hala.

Timbalan Pengarah Tourism Malaysia Kelantan, Mohd Faizul Zakaria, berkata program turut bertujuan memberi pendedahan terhadap produk atau lokasi pelancongan baharu kepada pengusaha pelancongan dari Langkawi, Kedah.

"Sesi perbincangan tiga hari itu berupaya membantu merancakkan aktiviti promosi dua hala dengan pembabitan Firefly yang menyediakan penerbangan domestik secara terus dari Langkawi ke Kelantan.

"Ia adalah lawatan timbal balas susulan delegasi Tourism Kelantan ke Langkawi sempena penerbangan sulung Firefly dari Kota Bharu ke Langkawi pada 27 hingga 29 Oktober tahun lalu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran sesi berkenaan, di sini, sebentar tadi.

Rombongan diketuai Pengurus Bahagian Pelancongan LADA, Rosnina Yaacob, disertai 16 penggiat industri pelancongan dari Langkawi, merangkumi pengusaha hotel, agensi pelancongan dan wakil Firefly.

Berita Harian X