Jumaat, 19 Februari 2016 | 9:54am

Masa panjang, kos tinggi pulihkan tanah bauksit

KEADAAN bekas lombong bauksit yang telah ditinggalkan. - Farizul Hafiz Awang
KEADAAN bekas lombong bauksit yang telah ditinggalkan. - Farizul Hafiz Awang

KUANTAN: Proses memulihkan tanah perlombongan bauksit untuk pertanian memerlukan kerja yang banyak dan kos yang tinggi, selain tidak menjanjikan pulangan hasil yang sama seperti sebelumnya.

Profesor Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Dr Jalani Sukaimi, berkata tanah berkenaan perlu dikambus semula dengan tanah yang subur kerana 'tanah atas' iaitu bahagian atas tanah asal, telah dikorek ketika perlombongan mineral itu.

Katanya, selepas proses itu, barulah tanah itu boleh ditanam semula dengan pokok lain, namun dalam masa yang sama tanaman penutup seperti kekacang juga perlu ada bertujuan mengikat struktur tanah dan memberi baja kepadanya.

"Jika peneroka terbabit masih mahu menanam sawit juga boleh, tetapi ia perlu dirawat dahulu dan tanah antara pokok juga perlu ditanam dengan tanaman penutup bumi, selain perlu dipastikan mendapat air secukupnya.

"Pokok sawit di tanah yang subur memerlukan tempoh selama 30 bulan sebelum boleh dikutip hasilnya. Jadi untuk tanah yang sudah diganggu sifatnya, tempoh untuk berbuah mengambil masa yang lebih lama," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini, hari ini.

Katanya, hasil tanaman yang dituai juga mungkin lebih kurang dan tidak sama kualitinya.

Sehubungan itu, katanya, pemilik tanah yang terbabit perlu mencari alternatif tanaman lain untuk ditanam di tanah mereka dan antara spesis pokok yang didapati sesuai ialah tanaman hutan.

Ketua Unit Ladang, Fakulti Pertanian dan Bioteknologi, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Prof Dr Mohd Noor Ghani bersetuju bahawa tanah perlombongan bauksit boleh dipulihkan, namun memerlukan jangka masa yang agak panjang sebelum boleh ditanam semula.

Justeru, beliau berpandangan tanah itu perlu dipulihkan segera bagi menjamin kesinambungan pendapatan peneroka terbabit untuk jangka masa panjang, kerana keuntungan hasil bauksit hanya bersifat sementara.

Sebelum ini, BERNAMA melaporkan Ketua Jabatan Kejuruteraaan Geoteknik dan Infrastruktur Fakulti Kejuruteraan Awam Universiti Malaysia Pahang (UMP) Dr Muzamir Hasan berkata bekas tanah lombong bauksit bakal menjadi tanah gersang.

Berita Harian X