Khamis, 11 Februari 2016 | 2:13pm

Pakar saraf Naib Canselor baharu UNISZA

PAKAR saraf terkemuka negara, Prof Datuk Dr Ahmad Zubaidi Abdul Latif. - Foto Syahirah Abdullah
PAKAR saraf terkemuka negara, Prof Datuk Dr Ahmad Zubaidi Abdul Latif. - Foto Syahirah Abdullah

KUALA NERUS: Pakar saraf terkemuka negara, Prof Datuk Dr Ahmad Zubaidi Abdul Latif, 55, dilantik sebagai Naib Canselor baharu Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menggantikan Prof Datuk Dr Yahaya Ibrahim, berkuat kuasa 1 Februari lalu.

Dilahirkan pada 30 April 1961, anak kelahiran Bukit Payong, Marang itu akan menggalas tanggungjawab sebagai Naib Canselor ketiga UniSZA sehingga 31 Januari 2019.

"Antara misi utama saya ialah memperkasa cabang dan pendidikan Islam ke dalam setiap disiplin ilmu dan bahasa di UNISZA seperti matlamat awal penubuhan institusi ini.

"Justeru, saya berharap semua warga UniSZA dapat bekerjasama menggembleng tenaga dan idea bagi memajukan dan membawa universiti ini ke peringkat lebih tinggi," katanya selepas Majlis Sambutan Naib Canselor Baharu UniSZA, di sini hari ini.

Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 1986, menjadi Felo di Royal College Of Surgeon, Edinburgh, United Kingdom pada tahun 1992 sebelum memperoleh Ijazah Sarjana Perubatan (Surgeri) dari Universiti Malaya (UM) setahun kemudian.

Dr Ahmad Zubaidi yang aktif dalam bidang perubatan, penyelidikan, aktiviti kemasyarakatan dan pentadbiran, pernah bertugas di Hospital Kuala Terengganu, Hospital Kemaman, Pusat Perubatan UM, Hospital Sungai Buluh dan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Beliau juga pernah menjadi Dekan Perubatan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UniSZA sebelum menjawat jawatan Ketua Neurosurgeri Institut Kanser Kebangsaan dan Hospital Kuala Lumpur.

Di peringkat antarabangsa, Dr Ahmad Zubaidi mencipta kejayaan membanggakan apabila dilantik sebagai felo dan perunding di United Kingdom, Australia serta Jerman.

Berita Harian X