Selasa, 9 Februari 2016 | 3:48pm

Subsidi perkhidmatan udara Sabah, Sarawak diteruskan

MENTERI Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai. - Foto Muhd Zaaba Zakeria
MENTERI Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

KOTA KINABALU:  Kerajaan Persekutuan akan terus memberi subsidi kepada MASwings dengan peruntukan sebanyak RM190 juta bagi perkhidmatan udara luar bandar di Sabah dan Sarawak. 

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata kerajaan Pusat sudah bersetuju meneruskan subsidi kepada syarikat penerbangan itu untuk tempoh tujuh tahun akan datang.

Bagaimanapun beliau berkata, pihaknya kini sedang mengkaji destinasi yang tidak lagi memerlukan subsidi apabila kontrak sebelum ini berakhir tahun depan. 

"Kerajaan Pusat sedar bahawa penduduk luar bandar di kedua-dua negeri itu masih memerlukan penerbangan tambah murah, khususnya lokasi yang sukar dilalui kenderaan.

"Bagaimanapun, kita akan mengkaji semula kerana kita tidak lagi memberi subsidi untuk lokasi yang ada syarikat penerbangan lain seperti AirAsia atau Malindo. 

"Sebelum ini, ada kira-kira 49 destinasi yang dikenal pasti di Sabah dan Sarawak yang memerlukan subsidi kerajaan namun kita akan mengkaji semula destinasi terbabit," katanya di sini. 

Beliau yang juga Presiden MCA ditemui pada majlis rumah terbuka Tahun Baharu Cina MCA di Dewan KK High School.

Turut hadir Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman.

Tiong Lai berkata, kerajaan Pusat akan terus membantu rakyat di Sabah dan Sarawak khususnya di luar bandar menerusi MASwings.

Berita Harian X