Sabtu, 6 Februari 2016 | 6:02pm

Lagi keluarga di Gemas pindah akibat banjir

ANGGOTA Bomba dan Penyelamat membantu memindahkan penduduk di Kampung Sungai Kelamah hari ini berikutan hujan lebat berterusan sejak petang semalam.Sejumlah 184 mangsa dipindahkan ke dua buah pusat pemindahan sementara di Gemenceh dan Air Kuning Selatan, Gemas, setelah rumah mereka dinaiki air kira-kira 1.2 meter. - Foto BERNAMA

GEMAS: Seramai 404 penduduk daripada 104 keluarga dari Taman Pinggiran FELDA Sungai Kelamah di sini, dipindahkan ke pusat penempatan sementara selepas kediaman mereka dinaiki air, hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tampin, Asisten Superintendan Nasarudin Mohd Sharip, berkata kawasan perumahan itu dilanda banjir apabila Sungai Kelamah mulai melimpah tanpa henti sejak jam 10 pagi tadi.

"Semua penghuni dipindahkan secara berperingkat ke Pusat Pemindahan di Sekolah Kebangsaan Sungai Kelamah," katanya di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) negeri, Lt Kol Kamal Mokhtar, berkata limpahan sungai turut menenggelamkan sebahagian laluan di Kilometer 43 Jalan Tampin-Gemas, menyebabkannya ditutup kepada semua jenis kenderaan.

Katanya, pengguna ke Gemas dari Tampin atau Kuala Pilah perlu menggunakan laluan alternatif melalui FELDA Bukit Rokan di Gemencheh dan FELDA Pasir Besar di Gemas.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gemas, Datuk Abd Razak Ab Said, berkata banjir di kawasan itu disebabkan Sungai Kelamah menerima aliran air terlalu banyak dari dua sungai di Tampin dan Gemencheh.

"Kita berada di hilir dan banjir yang surut di kawasan lebih hulu terutama Tampin dan Gemencheh menghala ke Gemas. Paras air di sini meningkat secara berterusan walaupun tiada hujan," katanya.

Berita Harian X