Isnin, 18 Januari 2016 | 6:01pm

TPPA: MPM sokong cara kerajaan kendalikannya

SETIAUSAHA Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM), Datuk Dr Hasan Mad. - Foto Hafiz Sohaimi
SETIAUSAHA Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM), Datuk Dr Hasan Mad. - Foto Hafiz Sohaimi

KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Melayu (MPM) kini bersedia menyokong hasrat kerajaan mahu memeterai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

Setiausaha Agungnya, Datuk Dr Hasan Mad, berkata keputusan itu dibuat selepas MPM bersetuju dengan cara kerajaan mengendalikan rundingan TPPA, terutama dari segi rundingan atas terma Malaysia dan agenda Bumiputera terjamin.

Selain itu, beliau berkata, agenda Islam dan halal juga terpelihara, selain kajian kos serta faedah yang dijalankan membuktikan TPPA memberi lebih banyak memberi manfaat kepada negara, sekali gus jika tidak menyertainya akan menjadikan negara kurang kompetitif.

Katanya, ia berbeza dengan pendirian MPM sebelum ini yang turut mempersoalkan TPPA, bukan disebabkan tidak bersetuju dengannya, tetapi lebih kerana tidak bersetuju dengan cara kerajaan mengendalikannya.

"Namun, kami tetap waspada dengan pelaksanaan perjanjian itu kelak. Justeru, MPM akan mengambil inisiatif menubuhkan badan pemantau atau TPPA Watchdog di peringkat Malaysia dan antarabangsa membabitkan negara anggota TPPA.

"Peranan utama badan bebas ini ialah untuk sentiasa memantau pelaksanaan TPPA supaya ia tidak dieksploitasi oleh mana-mana pihak berkepentingan," katanya pada sidang media menyokong TPPA, di sini, sebentar tadi.

Berita Harian X