Khamis, 24 Disember 2015 | 11:30am

Amanah penentu kejayaan ummah - Sultan Nazrin

SULTAN Perak, Sultan Nazrin Shah bersama Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan hadir di majlis Sambutan Maulidur Rasul peringkat Perak di Perak Amanjaya Konvensyen Centre, Hotel Casuarina Meru Raya Ipoh sambil diiringi Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir. - Foto L MANIMARAN
SULTAN Perak, Sultan Nazrin Shah bersama Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan hadir di majlis Sambutan Maulidur Rasul peringkat Perak di Perak Amanjaya Konvensyen Centre, Hotel Casuarina Meru Raya Ipoh sambil diiringi Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir. - Foto L MANIMARAN

IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, sifat amanah adalah penentu kepada kesejahteraan ummah dan kemakmuran negara.

Titah bagainda, sebaliknya perbuatan pecah amanah boleh mencetuskan kerosakan dalaman sehingga melemahkan sesuatu pemerintahan, sekali gus memudahkan kerja musuh dari luar.

"Amanah bererti boleh dipercayai. Jika sesuatu urusan dipertanggungjawabkan, urusan itu wajib dilaksanakan sebaik-baiknya.

"Sifat benar dan amanah berperanan utama dalam kepimpinan Rasulullah SAW. Kedua-dua sifat ini adalah paksi utama bagi memastikan pemimpin berupaya menunaikan tanggung jawab dengan jujur, adil dan saksama," titah baginda ketika menyempurnakan Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri di Pusat Konvensyen Aman Jaya, di sini, pagi ini.

Turut berangkat pada majlis itu, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Muda dan isteri, Raja Puan Besar Perak; Raja Nur Mahani Raja Shahar Shah serta Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris dan Raja Puan Muda, Tunku Suraya Sultan Abdul Halim.

Yang hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan isteri, Datin Seri Saripah Zulkipli serta pegawai kanan kerajaan negeri.

Sultan Nazrin bertitah, Rasulullah telah dipertanggungjawabkan dengan amanah dan berjaya menyempurnakan amanah dengan memiliki kekuatan dalaman serta iman yang tidak tergoncang ketika menghadapi ujian.

"Baik ujian yang berbentuk ugutan ke atas nyawa baginda, begitu juga imbuhan berbentuk tawaran pangkat, jawatan, kekayaan dan wanita cantik.

"Baginda adalah contoh kepimpinan yang berpegang teguh kepada prinsip kebenaran serta amanah dan kepimpinan wajib disempurnakan dengan telus, jujur, adil dan saksama," titahnya.

Berita Harian X