Khamis, 24 Disember 2015 | 10:56am

Agong dukacita tindakan persoal agensi agama

PENGERUSI Kumpulan Media Prima, Datuk Mohd Nasir Ahmad. - Foto NSTP
PENGERUSI Kumpulan Media Prima, Datuk Mohd Nasir Ahmad. - Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah kecewa dengan tindakan pihak tertentu yang memperkecilkan kewujudan dan fungsi agensi Islam di negara ini.

Baginda bertitah, kewujudan dan fungsi agensi terbabit adalah untuk melaksanakan pengurusan dan pembangunan hal ehwal Islam.

Oleh itu titah baginda, gambaran negatif dan tindakan memperkecil agensi agama adalah amat tidak bertanggungjawab serta keterlaluan.

"Beta ingin menzahirkan rasa dukacita atas sikap pihak tertentu yang cuba memperkecilkan atau memberi gambaran negatif terhadap kewujudan dan fungsi agensi Islam mutakhir ini.

"Antara kewajipan pemerintah adalah memastikan maqasid al-syariah terlaksana dengan sempurna dalam kehidupan rakyat. Justeru, beta amat berbangga atas inisiatif kerajaan memperkenalkan Indeks Syariah Malaysia (ISM)," titah baginda.

Seri Paduka bertitah demikian ketika merasmikan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1437H/2015M di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini.

Turut berangkat ke majlis bertemakan 'Perpaduan Nadi Transformasi Negara' itu ialah Raja Permaisuri Agong, Tuan­ku Hajah Haminah.

Yang hadir sama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan isteri Datin Seri Hamidah Khamis, menteri-menteri Kabinet serta perwakilan negara asing.

Titah baginda kewujudan agensi berkenaan adalah bagi melaksanakan fungsi pengurusan dan pembangunan hal ehwal Islam, sekali gus membantu agensi-agensi agama di peringkat persekutuan dan negeri untuk mengurus tadbir perkara berkaitan hal ehwal Islam.

Dalam menghadapi cabaran besar itu, baginda berharap seluruh institusi agama Islam sentiasa dipastikan berada di landasan kukuh, mantap dan berkesan.

"Dalam masa yang sama, permuafakatan antara ulama dan umarak hendaklah terus diperteguhkan demi untuk memastikan ketinggian agama Islam dan kesejahteraan ummah sentiasa terpelihara," titah baginda.

Seri Paduka turut menegaskan mengenai kepentingan memelihara hubungan baik antara satu sama lain, bertoleransi serta saling menghormati agar perpaduan yang sedia ada dapat dikekalkan.

Titah baginda, kejayaan Nabi Muhammad SAW menyatupadukan umat Islam untuk hidup dengan aman damai bersama-sama orang bukan Islam sehingga membentuk masyarakat baharu yang diikat dengan Piagam Madinah harus menjadi teladan kepada semua.

Dalam konteks Malaysia, baginda bertitah pendekatan Wasatiyyah atau kesederhanaan yang diterapkan telah diterima baik rakyat seterusnya memudahkan usaha mempertahankan perpaduan antara pelbagai kaum dan bangsa yang dinikmati sejak negara mencapai kemerdekaan.

Meskipun begitu, tidak dinafikan bahawa terdapat segelintir umat Islam yang terpengaruh dengan aliran melampau, namun majoritinya masih tetap berpegang dengan manhaj Wasatiyyah sebagaimana didukung oleh Ahli Sunnah Wal Jamaah, titah baginda.

Pada majlis itu, bekas Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Wan Zahidi Wan Teh diumumkan sebagai Tokoh Perdana Anugerah Maulidur Rasul 2015 yang disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Wan Zahidi menerima wang tunai RM50,000, sijil serta hadiah iringan.

Selain itu, lapan lagi individu turut menerima Anugerah Maulidur Rasul dengan masing-masing membawa pulang wang tunai RM20,000, plak, sijil, dan hadiah iringan.

Berita Harian X