Sabtu, 19 Disember 2015 | 4:48pm

ATM kaji haramkan vape di kem tentera

PANGLIMA ATM, Jeneral Tan Sri Dr Zulkifeli Mohd Zin. - Foto Hazreen Mohamad
PANGLIMA ATM, Jeneral Tan Sri Dr Zulkifeli Mohd Zin. - Foto Hazreen Mohamad

PORT DICKSON: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengkaji mengharamkan penggunaan rokok elektronik atau vape di semua kem tentera di negara ini.

Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Dr Zulkifeli Mohd Zin, berkata ketika ini beliau di peringkat perbincangan dengan Bahagian Perkhidmatan Kesihatan ATM.

"Perbincangan ini bertujuan melihat mengenai kebaikan dan keburukan penggunaan vape di semua kem tentera," katanya pada sidang media selepas majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kadet Graduan ATM di Kolej Tentera Darat di sini, hari ini.

Zulkifeli berkata, ketika ini kem tentera yang berada di Johor dan Kelantan perlu mengikut keputusan kerajaan negeri yang mengharamkan penggunaan dan penjualan vape.

"Kem tentera di dua negeri itu atau mana-mana negeri yang membuat larangan berkenaan tidak terkecuali daripada mengikut larangan itu," katanya.

Berita Harian X