Khamis, 17 Disember 2015 | 4:15pm

Hang Tuah: Melaka sedia dana penyelidikan

MELAKA: Kerajaan Melaka bersedia membantu penyelidik tempatan termasuk mendapatkan dana bagi membolehkan satu kajian menyeluruh mengenai kewujudan Hang Tuah dibuat.

Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Othman Mohamad, berkata satu jawatankuasa akan ditubuhkan segera, termasuk penyediaan kertas kerja untuk memperkukuhkan penyediaan dana bagi tujuan penyelidikan, kajian serta menjalankan ujian DNA terhadap waris pahlawan Melayu terunggul itu.

Katanya, Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron sendiri amat berminat dengan maklumat dan penemuan baharu mengenai Hang Tuah.

"Banyak badan lain yang boleh membantu (menyediakan dana) dengan kerajaan Melaka mengetuai untuk mempertahankan yang Hang Tuah itu wujud, bukannya mitos," katanya pada sidang media selepas merasmikan Forum Hang Tuah Memang Wujud di Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) di sini, hari ini.

Forum khas anjuran Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia (IKSEP) dengan kerjasama PERZIM dan Institut Seni Malaysia Melaka (ISMMA) itu diadakan bagi mempertahankan kewujudan Hang Tuah, sekali gus membidas pandangan seorang sejarahwan yang mendakwa Hang Tuah tidak wujud.

Dalam seminar Sejarah anjuran Jabatan Sejarah Universiti Malaya (UM) bertajuk `Wujudkah Hang Tuah?' pada 11 Disember lalu, karyawan tamu Jabatan Sejarah Fakulti Sastera dan Sains Sosial UM, Prof Emeritus Dr Ahmat Adam, berkata Hang Tuah adalah watak fiksyen yang wujud dalam teks klasik Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah.

Sementara itu, dalam 'Forum Hang Tuah Memang Wujud', empat ahli panel dijemput membentangkan pandangan serta dapatan kajian mengenai kewujudan Laksamana Hang Tuah.

Mereka, termasuk Pengerusi IKSEP, Prof Datuk Dr Mohd Jamil Mukmin; Setiausaha Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Melaka, Jamil Jaamat dan dua penyelidik Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK) Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Emeritus Hashim Musa dan Dr Rohaidah Kamaruddin.

Berita Harian X