Selasa, 15 Disember 2015 | 1:32pm

Wajib buat taklimat keselamatan: NIOSH

LEE Lam Thye ketika berucap pada Seminar Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Bagi Wanita (OSH For Women 2015) di Bangunan NIOSH Johor, hari ini. - Foto Hairul Anuar Abd Rahim
LEE Lam Thye ketika berucap pada Seminar Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Bagi Wanita (OSH For Women 2015) di Bangunan NIOSH Johor, hari ini. - Foto Hairul Anuar Abd Rahim

JOHOR BAHRU: Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) mencadangkan amalan taklimat keselamatan dijadikan dasar baharu setiap jabatan dan agensi kerajaan.

Pengerusi NIOSH, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata ketika ini taklimat berkenaan hanya disampaikan dalam majlis atau program dianjurkan jabatan atau agensi Kementerian Sumber Manusia (KSM).

Selain agensi dan jabatan kerajaan, katanya, sektor swasta juga perlu menjadikan taklimat keselamatan sebagai sebahagian daripada aktiviti harian mereka.

"Saya menghadiri pelbagai program dan mesyuarat dianjurkan banyak pihak tetapi saya mendapati taklimat keselamatan ini hanya dilakukan pada program anjuran KSM, agensi atau jabatan membabitkan kementerian tidak adakan (taklimat) perkara ini.

"Taklimat juga tidak dibuat jika majlis diadakan di hotel. Bayangkan jika berlaku kebakaran atau perkara tidak diingini, bagaimana orang ramai ingin keluar menyelamatkan diri?

"Justeru, kita cadangkan taklimat keselamatan dijadikan dasar baharu kerajaan yang perlu dipatuhi semua agensi dan jabatan sebelum bermulanya sesuatu majlis atau program," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Seminar Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Bagi Wanita (OSH For Women 2015) di Bangunan NIOSH Johor di Senai, hari ini.

Berita Harian X