Isnin, 14 Disember 2015 | 8:03pm
JOHAN Pertandingan Pidato, Asriyah Abdul Hafid (tengah), Naib Johan, Dr Mohamad Kairul Aneeza Zakaria (kanan) dan tempat ketiga, Siti Fatimah Umar bersama trofi dan hadiah pada Majlis Genta Bahasa Sempena Bulan Bahasa Kebangsaan Sektor Perkhidmatan Awam 2015 di Auditorium Angkasapuri. - Foto Adi Safri

Kesedaran PBT martabat bahasa Melayu meningkat

KETUA Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal (kiri) menyampaikan Anugerah Pemartabatan Bahasa oleh Pihak Berkuasa Tempatan (Semenanjung) kepada Majlis Bandaraya Shah Alam yang diwakili oleh, Pengarah Jabatan Khidmat Pengurusan Majlis Bandaraya Shah Alam, Madiyan Baweh (kanan) pada Majlis Genta Bahasa Sempena Bulan Bahasa Kebangsaan Sektor Perkhidmatan Awam 2015 di Auditorium Angkasapuri. - Foto Adi Safri

KUALA LUMPUR: Sebanyak 30 peratus daripada 149 pihak berkuasa tempatan (PBT) memperlihatkan peningkatan kesedaran untuk memartabatkan bahasa Melayu khususnya menerusi pemantauan di paparan awam pada tahun ini.

Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Dr Awang Sariyan memuji keseriusan PBT yang terbabit dalam usaha memartabatkan bahasa pada tahun ini lebih menggalakkan berbanding tahun lalu.

"Pada 2014, hanya 10 peratus daripada 149 PBT, yang dikenal pasti proaktif dalam melakukan pemantauan terhadap paparan awam terutama pada papan iklan.

"Peningkatan kepada 30 peratus ini memberi petanda usaha DBP menerusi pelbagai program termasuk sistem penarafan bintang makin menampakkan hasil memberangsangkan," katanya selepas Program Genta Bahasa II dan Majlis Penutup Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) Peringkat Sektor Perkhidmatan Awam 2015, petang tadi.

Yang turut hadir Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal.

Awang berkata, berdasarkan laporan sistem penarafan bintang tahun lalu, cuma Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang mendapat skor penuh iaitu lima bintang.

Justeru, beliau berharap pihak PBT, kementerian dan agensi kerajaan tidak memberikan sebarang alasan untuk tidak terbabit dalam usaha memperkasa bahasa Melayu.

"Setakat ini DBP masih belum mendapat kerjasama sepenuhnya daripada semua kementerian. Ada yang memberi alasan sibuk dengan urusan pentadbiran sehingga tidak dapat terbabit dalam kegiatan memartabatkan bahasa Melayu.

"Jadi saya menyeru kementerian, jabatan kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) lebih bertanggungjawab serta bersedia untuk bersama-sama membina kesedaran awam bagi memastikan bahasa Melayu dihormati dan digunakan dalam urusan rasmi serta harian," katanya.

Sementara itu, Mohamad Zabidi berkata, sektor awam mengambil serius usaha memperkasa bahasa kebangsaan, cuma ia memerlukan masa untuk diperluas sepenuhnya.

"Kami di sektor awam sedar kepentingan memperkasa bahasa Melayu bahkan dalam urusan rasmi ia digunakan sepenuhnya oleh penjawat awam.

"Cuma mungkin ada kementerian memerlukan masa umpamanya untuk terbabit dalam audit bahasa yang dikelolakan DBP, tetapi saya yakin ia akan dijayakan oleh semua pihak dalam menyokong usaha memartabatkan bahasa Melayu," katanya.

Berita Harian X