Isnin, 14 Disember 2015 | 5:01pm

Wujudkan panel penyelidik Hang Tuah

Pengkaji kesusasteraan Melayu tradisional, Dr Harun Mat Piah untuk sastera. - Foto NSTP
Pengkaji kesusasteraan Melayu tradisional, Dr Harun Mat Piah untuk sastera. - Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Panel penyelidik Hang Tuah perlu ditubuhkan untuk mengumpul dan menyusun semula dokumen yang dapat membuktikan kewujudan wira Melayu berkenaan.

Pengkaji kesusasteraan Melayu tradisional, Dr Harun Mat Piah, berkata panel itu perlu membabitkan institusi dan sarjana pengajian Melayu yang berwibawa termasuk Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Yayasan Karyawan dan Universiti Putra Malaysia (UPM), selain badan akademik berkaitan.

"Penubuhan panel itu dapat menjawab sebarang persoalan yang timbul sama ada bersifat akademik mahupun provokatif dengan merujuk dokumen yang sudah diterima sebagai mapan, definitif dan autoritatif.

"Ia juga dapat mengelak daripada mengulangi hujah semata-mata untuk menjawab persoalan yang bukan saja tidak lagi relevan, bahkan berbahaya dalam perkembangan semasa dan akan datang," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Jumaat lalu, Karyawan Tamu, Universiti Malaya (UM), Prof Emeritus Dr Ahmat Adam menafikan kewujudan Hang Tuah berdasarkan kajian filologinya pada Seminar Wujudkah Hang Tuah? di Jabatan Sejarah UM di sini.

Filologi ialah kajian ke atas bahan bertulis yang biasanya karya sastera dan penentuan kebenaran atau ketulenan bentuk serta maknanya.

Dalam seminar itu juga, Ahmat berkata Hang Tuah ialah watak fiksyen yang wujud dalam teks klasik Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu) dan Hikayat Hang Tuah, manakala nama wira itu tidak wujud pada abad ke-15 dan ke-16, sebaliknya hanya dikesan buat pertama kali dalam Hikayat Acheh yang ditulis pada hujung abad ke-17.

Harun berkata, adalah keterlaluan menggunakan kajian filologi semata-mata untuk menentukan kesahihan terhadap kewujudan pahlawan pada zaman Kesultanan Melayu Melaka itu, apatah lagi menganggapnya sebagai dongeng.

"Kemahiran Ahmat dalam menguasai ilmu filologi misalnya dalam analisis akademik terhadap Sulalatus Salatin memang dianggap cukup hebat dan sangat menyumbang dalam kajian Sastera Melayu.

"Bagaimanapun, tindakan menghubungkan penemuan dengan penggunaan filologi dalam menentukan kewujudan Hang Tuah sehingga menganggap keseluruhan peristiwa berkaitannya dongeng, fiksyen dan tidak berasas, rasanya sedikit keterlaluan," katanya.

Beliau berkata, sebenarnya ramai sarjana sudah memberikan ratusan bukti secara objektif yang menegaskan kewujudan Hang Tuah, sekali gus penegasan itu tidak sepatutnya terjejas dengan penafian beberapa individu saja.

"Budaya dan tamadun Melayu kini diperlekeh pelbagai pihak justeru amat wajar nasionalis, budayawan dan intelektual Melayu bangkit mempertahankan keagungan serta keperkasaan tamadun Melayu.

"Hal itu janganlah sewenang-wenangnya digugat kerana wahana yang diguna pakai dalam gugatan itupun masih belum boleh dianggap berwibawa, konklusif atau definitif," katanya.

Berita Harian X